PETALING JAYA – Operasi bagi Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Ampang/Sri Petaling dilaporkan mengalami gangguan pagi ini akibat kejadian sebuah tren tergelincir sewaktu melalui kawasan suis landasan berhampiran Stesen Chan Sow Lin.
Menerusi satu kenyataan, Rapid KL menjelaskan bahawa insiden berkenaan telah mengakibatkan tren terbabit terkandas, sekali gus memberikan kesan terhadap jadual perjalanan asal di laluan tersebut.
Pihak penganjur mengesahkan bahawa foto-foto kejadian yang sedang tersebar di media sosial adalah benar dan siasatan terperinci serta proses pemulihan sedang giat dilaksanakan di tapak insiden.
“Semasa kejadian berlaku, seramai 25 orang penumpang berada di dalam tren terbabit. Penumpang-penumpang tersebut telah dipindahkan dengan selamat mengikut prosedur operasi dan tiada kecederaan dilaporkan. Keselamatan penumpang dan petugas adalah menjadi keutamaan dan pasukan teknikal sedang menjalankan siasatan lanjut serta kerja-kerja pemulihan di lokasi,” katanya.
Menurut penjelasan Rapid KL, pelan pengurusan perkhidmatan alternatif yang telah dimaklumkan sebelum ini masih berkuat kuasa bagi menjamin perjalanan penumpang, termasuklah penyediaan tren alternatif serta bas perantara secara percuma.
“Ia melibatkan tren perantara dari Sentul Timur akan berpatah balik di Pudu (kekerapan empat minit), tren perantara di antara Cheras dan Bandar Tasik Selatan (kekerapan lapan minit), tren perantara di antara Ampang dan Pandan Jaya (kekerapan lima minit) dan tren dari Putra Heights akan berpatah balik di Bandar Tasik Selatan (kekerapan empat minit).
“Selain itu, bas perantara ulang-alik percuma turut disediakan melibatkan beberapa stesen utama termasuk Hang Tuah, Chan Sow Lin, Maluri, Pandan Jaya dan Cheras dengan kekerapan antara lima hingga 20 minit bergantung kepada keadaan trafik.
“Penumpang yang ingin menuju ke pusat bandar turut dinasihatkan menggunakan Laluan Putrajaya dengan membuat pertukaran tren di Stesen Sungai Besi,” katanya.
Pihak Rapid KL turut menyeru agar semua pengguna memberikan kerjasama dengan mematuhi segala arahan yang diberikan oleh petugas di stesen sepanjang gangguan berlaku.
“Pihak Rapid KL memohon maaf atas kesulitan yang dialami dan menasihatkan penumpang supaya terus merujuk saluran media sosial rasmi Rapid KL serta aplikasi MyRapid PULSE untuk mendapatkan maklumat terkini,” katanya. – UTUSAN
Sumber: UTUSAN Malaysia
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?