NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive, Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Tragis Di Selekoh Batang Kali, Pegawai Kanan Polis Maut Selepas Bertembung Lori

Tragis Di Selekoh Batang Kali, Pegawai Kanan Polis Maut Selepas Bertembung Lori

Salam takziah diucapkan kepada seluruh ahli keluarga mangsa serta warga Polis Diraja Malaysia (PDRM). Satu berita duka menyelubungi pasukan keselamatan negara apabila seorang pegawai kanan polis disahkan maut dalam satu kemalangan ngeri di Jalan Batang Kali-Genting, Hulu Selangor semalam.

Insiden menyayat hati yang berlaku sekitar jam 4.45 petang itu membabitkan sebuah motosikal dan sebuah lori, yang turut mengakibatkan pemandu lori tersebut mengalami kecederaan.

Hilang Kawalan Di Selekoh Ketika Perjalanan Pulang Bertugas

Mangsa yang terkorban merupakan Superintendan Yuslimezam Hashim, 51, yang berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Logistik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus, siasatan awal mendapati mangsa ketika itu sedang menunggang motosikalnya secara bersendirian dari Alor Star, Kedah untuk menuju ke IPK Pahang sebelum mendepani situasi cemas di tempat kejadian.

“Setibanya di lokasi, mangsa yang mengambil selekoh ke kiri dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan lori,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Impak Rempuhan Kuat, Polis Pohon Saksi Kejadian Tampil

Akibat impak pelanggaran yang sangat kuat, pegawai kanan berkenaan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak perubatan.

Sementara itu, pemandu lori pula dilaporkan terselamat namun mengalami cedera ringan di bahagian muka serta dada.

Pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan menyeluruh dan meminta mana-mana orang awam yang mempunyai maklumat atau menyaksikan insiden ini untuk segera tampil membantu pihak polis.

“Mayat dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil menghubungi pegawai penyiasat di talian 03-60641222 atau mana-mana balai polis berhampiran”, tambah beliau.

Sumber: Berita Harian

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    2.5 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD