NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

inDrive Malaysia Catat 1.2 Juta Perjalanan, Lanjut Lesen Operasi Hingga 2028

inDrive Malaysia Catat 1.2 Juta Perjalanan, Lanjut Lesen Operasi Hingga 2028

KUALA LUMPUR – Platform mobiliti dan perkhidmatan bandar global, inDrive, mencatatkan prestasi pertumbuhan luar biasa apabila merekodkan lebih 1.2 juta perjalanan yang diselesaikan pada Mei lepas, sekali gus menandakan jumlah perjalanan bulanan tertinggi setakat ini.

Pencapaian itu menyaksikan peningkatan jumlah perjalanan sebanyak 8.7 peratus, pertambahan rakan pemandu aktif sebanyak 10.2 peratus, manakala pangkalan penumpang meningkat 1.9 peratus berbanding data pada Januari 2026. 

Bagi unjuran bulan ke bulan pula, pangkalan rakan pemandu aktif melonjak 5.5 peratus pada Mei 2026, manakala jumlah penumpang meningkat 1.1 peratus berbanding April tahun yang sama.

Seiring dengan momentum pertumbuhan positif tersebut, inDrive turut mengumumkan kejayaan memperbaharui lesen operasi e-hailing di Malaysia, sekali gus membolehkan syarikat itu terus menawarkan perkhidmatannya kepada pengguna tempatan sehingga tahun 2028.

Pengurus Operasi Pemandu inDrive Malaysia, Azlan Anwar berkata, pertumbuhan kukuh syarikat di pasaran domestik disokong sepenuhnya oleh komitmen tinggi rakan pemandu yang memastikan mobiliti komuniti bergerak setiap hari.

“Ketika kos pemanduan terus meningkat, kami percaya platform seperti inDrive mempunyai peranan untuk membantu pemandu mengurus perbelanjaan mereka dengan lebih baik, menjana pendapatan secara lebih mampan dan merasakan bahawa sumbangan mereka dihargai.

“Dengan memberikan sokongan yang lebih bermakna kepada pemandu, kami juga dapat meningkatkan pengalaman penumpang dan menyumbang kepada pertumbuhan mampan ekonomi gig di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, inDrive turut menterjemahkan sokongannya terhadap kebajikan pemandu menerusi pelaksanaan kempen kadar komisen serendah satu peratus di Lembah Klang yang berlangsung dari April hingga Mei 2026, bagi membolehkan golongan terbabit mengekalkan bahagian pendapatan yang lebih besar.

Mendepani fasa perancangan masa depan di Malaysia bagi baki suku tahun 2026, inDrive mengumumkan fokus strategik syarikat yang akan menumpukan kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif baharu demi mengurangkan kos operasi rakan pemandu. 

Langkah tersebut dijangka mampu meringankan beban kewangan golongan pemandu dalam mendepani kos sara hidup semasa. 

Di samping itu, sebagai sebahagian daripada pelan jangka panjang bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan pengguna, platform mobiliti global ini turut mengesahkan bakal melancarkan kategori kenderaan gred kelas keselesaan (comfort class) di pasaran tempatan tidak lama lagi.

Syarikat itu menegaskan akan terus melabur dalam inisiatif yang memperkukuh penglibatan pemandu bagi memupuk ekosistem mobiliti yang adil, inklusif, serta mampu mewujudkan nilai jangka panjang bagi pasaran ekonomi gig di Malaysia.

Izzah Amirah

Izzah Amirah adalah Penerbit Kandungan Gaya Hidup & Kembara yang juga bertindak sebagai 'enjin kreatif' di sebalik siri mega TERPALING TRAVEL. Beliau bertanggungjawab menterjemahkan pengalaman kembara global kepada penceritaan digital dan kewartawanan gaya hidup yang eksklusif buat pembaca.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy