Sebuah video telah dimuatnaik oleh pengguna @Alepdepay dan tular di mana seorang wanita terpaksa menggunakan perkhidmatan e-hailing untuk pergi ke hospital disebabkan sebuah kenderaan jenis Honda City telah menghalang kenderaannya dengan double-parked.
Di dalam video itu, dapat dilihat bahawa wanita terbabit sedang berjalan mundar-mandir sambil menunggu pemilik Honda City tersebut untuk datang dan mengalihkan kenderaan miliknya itu ke tepi. Namun, penantiannya sia-sia kerana pemilik Honda City itu tidak datang setelah menunggu lama.
Apa yang lebih mengecewakan, pemilik Honda City tersebut telah meninggalkan nombor telefonnya agar dapat dihubungi namun panggilannya tidak berangkat setelah beberapa kali wanita tersebut cuba menghubungi nombor telefon yang tertera di cermin kereta terbabit.
Setelah menunggu sekian lama, wanita tersebut telah meninggalkan satu nota berbaur sindiran kepada pemilik Honda City terbabit yang mengatakan, “Terima kasih! Disebabkan saya ada emergency dekat hospital, kereta honda hitam awak jadi penyebab saya tak boleh nak ke mana-mana. Terima kasih sebab tinggalkan no telefon tapi call 80 kali tak jawab-jawab. Terima kasih ya! Awak memang terbaik!”.
Menurut laporan News Straits Times, wanita tersebut akhirnya menggunakan servis e-hailing untuk pergi ke hospital. Kejadian kereta double-parked ini sangat lazim terutamanya di kawasan yang mempunyai penduduk yang sangat padat di mana tempat parkir yang disediakan adalah terhad.
Tindakan yang sewajarnya perlu dilakukan jika kenderaan anda telah double-parked dan menghalang mana-mana kenderaan untuk keluar. Antaranya ialah anda perlu bertanggungjawab dengan meninggalkan nombor telefon dan sentiasa peka dengan panggilan telefon yang diterima.
Sumber : News Straits Times