Menurut laporan oleh Bernama, hasil kutipan jualan nombor plat pada tahun lalu akan terus disalur kepada Kumpulan Wang DiSatukan dan bukannya kepada Kementerian Pengangkutan, ujar Anthony Loke, Menteri Pengangkutan.
Sebanyak RM311.8 juta telah berjaya dikutip pada tahun lalu dan ia termasuk dengan hasil jualan nombor pendaftaran khas (NPI) yang mencecah sehingga RM21 juta. Dengan siri plat M_M, ia telah mula dijual sejak tahun 2019 dan tawaran bidaan telah bermula pada tahun 2023.
Nombor pendaftaran khas bagi siri M_M yang bermaksud “Malaysia Merdeka” adalah untuk meraikan sambutan Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-66 dan bakal menyaksikan nombor diapit oleh dua (M) pada awal dan akhir (Contoh : M 1111 M).
“Bagaimanapun bagi tahun 2024, seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri semasa pembentangan Belanjawan 2024, sebahagian jualan NPI akan diperuntukkan kepada golongan yang kurang berkemampuan,” kata Loke semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat semalam bagi menjawab soalan dari Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar).
Kerajaan juga telah bersetuju untuk terus menanggung bayaran ujian memandu bagi kelas B2, e-hailing dan teksi yang bakal memberi manfaat kepada 40,000 belia daripada keluarga yang kurang berkemampuan menerusi sebahagian daripada jualan NPI itu. Selain itu, pemberian topi keledar kanak-kanak sebanyak 100,000 unit turut bakal diagihkan kepada keluarga yang kurang berkemampuan.
Loke turut mendedahkan keuntungan sebanyak RM17 juta telah direkodkan dari jualan plat pendaftaran siri GOLD.
“Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, GOLD 1 (plat pendaftaran) telah dibida oleh Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dengan nilai RM1.5 juta. Separuh daripada hasil tersebut dikembalikan kepada Kementerian Pengangkutan bagi tujuan pelaksanaan inisiatif yang dinyatakan,” sambung Loke.
Orang ramai yang berminat untuk membida nombor pendaftaran khas diingatkan agar hanya melakukannya di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sahaja dan bukannya membeli dari sumber ketiga untuk mengelakkan sebarang penipuan berlaku.
“Jika anda berhasrat untuk membida, gunakan sistem e-bidaan JPJ kerajaan, [dan] elakkan saluran pihak ketiga. Meningkatkan kesedaran adalah penting kerana kami menyasarkan hasil untuk menyumbang kepada dana kerajaan, membolehkan kami melaksanakan lebih banyak inisiatif untuk membantu rakyat,” kata Menteri Pengangkutan itu.
Sumber : Bernama