NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Cuti Raya Dan CNY Dorong Perbelanjaan Pelancongan Domestik Naik RM34 Bilion

Cuti Raya Dan CNY Dorong Perbelanjaan Pelancongan Domestik Naik RM34 Bilion

Perbelanjaan pelancongan domestik mencatatkan pertumbuhan dua angka sebanyak 15.8 peratus berbanding tahun sebelum kepada RM34 bilion pada suku pertama tahun 2026 (ST1 2026), menurut laporan Buletin Survei Pelancongan Domestik Malaysia – Suku Pertama 2026 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) semalam.

Dalam satu kenyataan, pihak DOSM memaklumkan bahawa sektor pelancongan domestik Malaysia berjaya mengekalkan momentum pertumbuhannya sepanjang tiga bulan pertama tahun 2026, dengan jumlah pelawat tempatan mencecah 74.7 juta orang, sekali gus mencerminkan peningkatan sebanyak 7.2 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Prestasi memberangsangkan itu turut disokong oleh pertumbuhan sebanyak 0.9 peratus berbanding suku sebelumnya (suku keempat tahun 2025), yang memaparkan kestabilan berterusan dalam permintaan terhadap aktiviti perjalanan domestik.

“Pertumbuhan itu dipacu oleh aktiviti perjalanan sempena musim perayaan dan cuti sekolah sepanjang suku tahun berkenaan, terutamanya semasa sambutan Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidilfitri, yang kebiasaannya merangsang aktiviti pelancongan domestik yang lebih tinggi, termasuk kunjungan ke rumah saudara-mara serta percutian keluarga.

“Tempoh perayaan ini menyokong permintaan pelancongan domestik yang lebih kukuh, sekali gus menyumbang kepada pergerakan pelawat yang lebih tinggi serta aktiviti pelancongan yang lebih meluas di seluruh negara,” menurut kenyataan tersebut.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin mengulas bahawa jumlah RM34 bilion yang dicatatkan bagi perbelanjaan pelancongan domestik pada suku pertama tahun 2026 bukan sahaja menggambarkan aktiviti perjalanan yang lebih tinggi, malah turut menunjukkan peningkatan pada purata perbelanjaan bagi setiap pelawat.

“Bagi asas suku tahun ke suku tahun, perbelanjaan pelancongan domestik meningkat sebanyak 4.5 peratus, menandakan daya tahan yang berterusan dalam aktiviti ekonomi berkaitan pelancongan,” kata beliau seperti yang dipetik daripada laporan itu.

Mengikut data DOSM, prestasi positif ini disokong kuat oleh pertumbuhan dalam indikator utama berfrekuensi tinggi, menyaksikan aliran trafik lebuh raya meningkat sebanyak 1.0 peratus berbanding tahun lalu, jualan bahan api runcit melonjak 8.0 peratus, manakala ketibaan penumpang udara domestik berkembang 9.6 peratus, mencerminkan mobiliti domestik dan permintaan travel yang lebih kukuh.

Sektor penginapan turut mempamerkan prestasi yang memberangsangkan, dengan kadar perolehan pendapatan meningkat sebanyak 15.4 peratus, selaras dengan lonjakan permintaan pelancongan semasa.

Kadar penginapan bagi hotel bertaraf empat bintang dan tiga bintang masing-masing meningkat kepada 62.9 peratus (ST1 2025: 62.4 peratus) dan 70.4 peratus (ST1 2025: 69.3 peratus), sekali gus menunjukkan trend kecenderungan yang semakin meningkat terhadap pilihan penginapan kelas pertengahan dalam kalangan pengembara. — Bernama

Sumber: Malay Mail

Izzah Amirah

Izzah Amirah adalah Penerbit Kandungan Gaya Hidup & Kembara yang juga bertindak sebagai 'enjin kreatif' di sebalik siri mega TERPALING TRAVEL. Beliau bertanggungjawab menterjemahkan pengalaman kembara global kepada penceritaan digital dan kewartawanan gaya hidup yang eksklusif buat pembaca.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy