Jika anda layari media sosial seperti TikTok, Instagram, atau Facebook kebelakangan ini, anda pasti perasan akan lambakan video vlog atau gambar berlatarbelakangkan landskap futuristik Chongqing, keindahan alam semula jadi Zhangjiajie, atau keunikan budaya di Xi’an.
Ya, fenomena ‘China Travel’ kini benar-benar meraih perhatian ramai! Memasuki tahun 2026, China secara rasmi telah memotong destinasi tradisi seperti Thailand, Jepun, dan Korea Selatan untuk menjadi pilihan nombor satu rakyat Malaysia bagi percutian luar negara.
Persoalannya, kenapa negara tembok besar ini tiba-tiba menjadi kegilaan ramai? Ini 5 sebab utama yang anda perlu tahu.
Sebelum ini, proses untuk memohon visa ke China boleh tahan renyah dan memakan kos.
Namun, susulan hubungan diplomatik yang semakin erat antara Kuala Lumpur dan Beijing, polisi pengecualian visa sehingga 30 hari untuk rakyat Malaysia telah dilanjutkan dan dipermudahkan.
Jadi sekarang, anda sudah tidak perlu upah ejen atau beratur panjang di pusat visa. Beli sahaja tiket penerbangan, kemas beg, dan korang boleh terus terbang pada bila-bila masa.
Faktor kebebasan ini menjadi pencetus utama kenapa ramai yang menukar pelan percutian saat akhir mereka ke China.
Kuasa algoritma media sosial memainkan peranan yang sangat besar. Sejak akhir-akhir ini, bandar-bandar di China dipasarkan dengan imej yang sangat moden, bersih, dan memukau mata memandang.
Antara tarikan utama ialah bandar seperti Chongqing yang digelar bandar 3D atau “Cyberpunk”, kerana tren yang lalu di tengah-tengah pangsapuri menjadi kegilaan anak muda.
Begitu juga dengan Chengdu yang merupakan syurga Panda dan Shanghai yang menawarkan suasana estetik bertaraf dunia.
Ramai pelancong dari Malaysia mahu merasai sendiri pengalaman berada dalam bandar futuristik tersebut.
Jika sedekad lalu pelancong Muslim sering risau tentang isu makanan halal di China, realiti pada tahun 2026 sudah jauh berubah.
Pasaran pelancongan China kini sangat agresif menyantuni pelancong dari Asia Tenggara.
Kedai-kedai makanan halal, terutamanya mi tarik Lan Zhou dan restoran masakan etnik Hui atau Uyghur kini sangat mudah ditemui di bandar-bandar utama.
Malah, kemudahan ruang solat juga mula disediakan di stesen kereta api berkelajuan tinggi (bullet train) dan kawasan tumpuan pelancong.
Satu ketika dahulu, sistem pembayaran cashless di China (WeChat Pay dan Alipay) sangat menyukarkan pelancong asing kerana memerlukan akaun bank tempatan.
Kini, aplikasi Alipay dan WeChat Pay boleh dipautkan terus dengan kad kredit atau kad debit Malaysia (malah ada beberapa aplikasi e-wallet tempatan kita yang boleh diimbas terus di sana).
Nak bayar teksi, beli makanan jalanan, atau beli tiket masuk semuanya hanya guna telefon pintar. Sangat mudah dan selamat!
Persaingan sengit antara syarikat penerbangan tempatan dan antarabangsa telah menyebabkan harga tiket penerbangan dari Kuala Lumpur ke pelbagai hab utama di China (seperti Guangzhou, Shenzhen, dan Kunming) menjadi sangat kompetitif.
Setibanya di sana, sistem kereta api berkelajuan tinggi (bullet train) mereka yang sangat cekap dan murah memudahkan pelancong untuk bergerak dari satu wilayah ke wilayah yang lain dalam masa singkat.
Anda boleh merasai pengalaman menaiki tren pada kelajuan melebihi 300 km/j dengan kos yang jauh lebih murah berbanding Shinkansen di Jepun!
Kalau anda mahu lebih banyak tips travel yang menarik, jangan lupa follow @terpalingtravel di TikTok!
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?