KUALA LUMPUR – Syarikat penerbangan Batik Air telah memulakan perkhidmatan penerbangan terus baharunya yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Shanghai, sekali gus memantapkan lagi profil operasinya di China.
Mengikut penjelasan syarikat penerbangan terbabit, penerbangan sulung bagi sektor berkenaan telah berlepas dari Kuala Lumpur pada 23 Jun 2026 dan selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong Shanghai pada jam 1.20 pagi hari berikutnya, manakala sektor penerbangan pulang tiba di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 8.50 pagi pada 24 Jun 2026.
“Langkah memperkenalkan perkhidmatan Shanghai-Kuala Lumpur berlaku pada waktu yang sesuai iaitu ketika Malaysia meningkatkan usaha bersempena dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
“Inisiatif pelancongan negara menyasarkan ketibaan 43 juta pelancong pada 2026, dengan China kekal sebagai salah satu daripada sumber pasaran utama Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy menyatakan, pembukaan laluan baharu ini bukan sahaja meningkatkan tahap jaringan hubungan udara, malah bertindak sebagai pemangkin kepada jalinan aktiviti ekonomi, pelancongan, serta pertukaran budaya yang lebih erat antara Malaysia dan China.
“Shanghai salah satu bandar paling dinamik dan berpengaruh di China, dan kami gembira untuk mengalu-alukan pelancongan dari pasaran penting ini ke Malaysia.
“Pelancaran perkhidmatan ini memperkukuhkan hubungan jangka panjang antara Malaysia dan China, sambil mewujudkan peluang yang lebih baik bagi pelancongan, perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara,” katanya.
Chandran memaklumkan, laluan berkenaan akan memegang peranan yang kritikal dalam mengetengahkan variasi produk pelancongan yang ditawarkan oleh Malaysia sempena penganjuran TMM2026, selain memberikan peluang kepada pelawat untuk berhubung dengan pelbagai destinasi di seluruh negara menggunakan rangkaian domestik Batik Air.
“Kami kekal komited untuk menyokong aspirasi pelancongan Malaysia di samping menyediakan pilihan pelancongan yang selesa dan lancar bagi penumpang yang melancong antara China dan Malaysia,” katanya.
Berdasarkan maklumat Batik Air, pengenalan laluan Shanghai-Kuala Lumpur ini terus mempertegas komitmen padu syarikat untuk meluaskan jaringan hubungan serantau di samping memantapkan kedudukan Malaysia sebagai sebuah hab pintu masuk penerbangan yang utama di dalam zon Asia Pasifik.
Sumber: Harian Metro
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?