NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Kecurian Kabel Kereta Api Cecah RM16.3 Juta, Kerajaan Perketat Penguatkuasaan

Kecurian Kabel Kereta Api Cecah RM16.3 Juta, Kerajaan Perketat Penguatkuasaan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 393 kes kecurian kabel kereta api direkodkan di seluruh negara dalam tempoh 2024 hingga Jun 2026, mengakibatkan kerugian dianggarkan mencecah RM16.3 juta.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, jumlah itu melibatkan hampir 19,756 meter kabel yang dicuri, sekali gus memberi kesan besar terhadap operasi dan keselamatan sistem pengangkutan rel negara.

Menurut beliau, bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini sahaja, sebanyak 64 insiden dilaporkan di sektor utara dengan 1,878 meter kabel hilang. Pada 2025 pula, sebanyak 141 kes membabitkan kehilangan 9,699 meter kabel direkodkan, manakala 188 kes melibatkan 8,179 meter kabel berlaku pada 2024.

Hasbi menjelaskan bahawa kerajaan memandang serius peningkatan jenayah berkenaan kerana bukan sahaja menyebabkan kerugian kewangan yang tinggi, malah boleh mengancam keselamatan operasi tren serta mengganggu kelancaran perkhidmatan kepada pengguna.

Beliau berkata, kegiatan mencuri kabel boleh dianggap sebagai satu bentuk sabotaj terhadap infrastruktur rel kerana berpotensi membahayakan keselamatan penumpang selain menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap sistem pengangkutan awam.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat mengenai usaha kerajaan membanteras kegiatan kecurian kabel kereta api serta statistik kejadian sepanjang tiga tahun lalu.

Bagi mengekang jenayah itu, kerajaan kini melaksanakan beberapa langkah termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) secara berperingkat di lokasi yang dikenal pasti berisiko tinggi oleh Railway Assets Corporation (RAC).

Sistem berkenaan mampu mengesan pergerakan mencurigakan secara masa nyata, menjalankan analisis video seperti pengecaman objek dan pengesanan pencerobohan, selain menghantar amaran automatik kepada pusat kawalan bagi membolehkan tindakan segera diambil.

Selain itu, teknologi dron turut digunakan bagi memperluaskan pemantauan udara, terutama di kawasan yang sukar dipantau melalui rondaan konvensional.

Dalam usaha memperkukuh rondaan keselamatan, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) juga telah menerima kelulusan untuk memperoleh 20 unit motosikal scrambler yang akan digunakan oleh Polis Bantuan KTMB bagi mempercepatkan tindak balas terhadap sebarang insiden.

Pada masa sama, kerajaan sedang meneliti pindaan terhadap undang-undang sedia ada bagi membolehkan tindakan lebih tegas dikenakan terhadap individu yang menceroboh, merosakkan atau mencuri aset kereta api.

Kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut diperkasakan melalui kempen kesedaran kepada pengusaha dan peniaga besi buruk supaya tidak membeli kabel atau komponen rel yang dipercayai diperoleh daripada kegiatan jenayah.

Menurut Hasbi, pendekatan itu penting bagi memutuskan rantaian pasaran barangan curi sekali gus mengurangkan dorongan kepada sindiket untuk terus melakukan jenayah.

Beliau menegaskan kerajaan akan terus memperkukuh aspek pencegahan, penguatkuasaan dan penggunaan teknologi moden bagi memastikan keselamatan infrastruktur rel negara sentiasa terpelihara serta perkhidmatan kereta api kekal selamat, cekap dan diyakini rakyat.

Sumber: Berita Harian

Alym Asri

Sebagai Pengacara & Ketua Editorial NAZZ&CO™ Media, Alym Asri memiliki kepakaran meluas dalam pengendalian siaran langsung, interaksi audiens, dan promosi kandungan digital. Beliau merupakan nadi kreatif yang sentiasa memacu idea-idea inovatif untuk menghasilkan video berimpak tinggi dan terus relevan di pasaran.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy