NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive, Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Lelaki Ditemui Meninggal Dunia Dalam Proton Wira, Ada 20 Rekod Jenayah Dan Narkotik

Lelaki Ditemui Meninggal Dunia Dalam Proton Wira, Ada 20 Rekod Jenayah Dan Narkotik

BALING – Misteri penemuan seorang lelaki tidak sedarkan diri di dalam sebuah Proton Wira di tepi jalan berhampiran Simpang 3 Tawar akhirnya terungkai apabila polis mengesahkan individu terbabit telah meninggal dunia.

Kejadian yang berlaku berhampiran jirat Cina di kawasan tersebut dilaporkan kepada pihak polis sekitar jam 11.35 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Baling, Brandon Richard Joe berkata, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Baling (IPD) segera ke lokasi selepas menerima maklumat awam berhubung penemuan lelaki berkenaan.

Menurut beliau, pemeriksaan awal mendapati kereta tersebut berada dalam keadaan berkunci manakala lelaki terbabit sudah tidak bernyawa di dalam kenderaan itu.

“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Baling kemudian dipanggil bagi membantu membuka pintu kereta serta mengeluarkan mayat mangsa,” katanya.

Ada 20 Rekod Jenayah Lampau

Tambah beliau, pemeriksaan lanjut turut dijalankan oleh pasukan Unit Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah (IPK) Kedah di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.

Hasil semakan mendapati mangsa merupakan lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an dan mempunyai sebanyak 20 rekod jenayah lampau melibatkan kes jenayah serta narkotik.

Selain itu, siasatan terhadap kenderaan yang digunakan mangsa turut menemukan fakta mengejutkan apabila Proton Wira berkenaan mempunyai rekod kehilangan di Pendang.

“Kenderaan itu mempunyai laporan kehilangan dan kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya lagi.

Polis kemudiannya merampas kenderaan tersebut untuk tindakan lanjut serta membantu siasatan pegawai penyiasat kes.

Kes Diklasifikasikan Sebagai Mati Mengejut

Mayat lelaki terbabit telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah untuk proses bedah siasat dan tindakan lanjut.

Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan penuh siasatan.

Dalam pada itu, polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta menjejaskan sensitiviti keluarga mangsa.

Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ketua Polis Balai Tawar, Hafeedz Amil di talian 017-5588637 atau tampil ke balai polis berhampiran.

Terdahulu, media melaporkan pasukan bomba dipanggil ke lokasi kejadian bagi membuka pintu Proton Wira yang berkunci untuk mengeluarkan mayat lelaki terbabit yang ditemui di bahagian tempat duduk penumpang hadapan.

Sumber: Berita Harian

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    2.5 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD