SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli merasai sendiri pengalaman menaiki perkhidmatan Aliran Transit Ringan 3 (LRT3) dari Stesen Bandar Utama di Petaling Jaya ke Stesen Johan Setia di Klang pada Isnin.
Menerusi hantaran rasmi Selangor Royal Office, baginda menzahirkan rasa syukur kerana projek pengangkutan awam berskala besar itu akhirnya dapat dimanfaatkan oleh rakyat.
Baginda juga berharap lima stesen yang masih tertangguh iaitu Tropicana, Temasya, Raja Muda, Bukit Raja dan Bandar Botanik dapat disiapkan seperti yang dirancang.
Menurut baginda, LRT3 merupakan kemudahan pengangkutan awam yang penting bagi memudahkan pergerakan rakyat. Baginda turut memuji kesabaran rakyat Selangor yang menunggu hampir sedekad sebelum laluan ini akhirnya siap sepenuhnya.
“Alangkah baiknya kalau laluan LRT3 ini siap mengikut perancangan asal kerana perkhidmatan tren ini amat penting untuk kesenangan rakyat,” menurut kenyataan rasmi tersebut.
“Baginda turut memuji kesabaran rakyat Selangor dan Alhamdulillah, akhirnya LRT3 Laluan Shah Alam siap dan boleh digunakan. Baginda percaya ada hikmah yang Allah SWT ingin tunjukkan daripada kelewatan ini.”

Sultan Sharafuddin turut merakamkan penghargaan kepada Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pembinaan dan pengoperasian LRT3.
Baginda turut dimaklumkan bahawa projek mega itu melibatkan lebih 13,000 tenaga kerja sepanjang tempoh pembinaan selama 10 tahun sembilan bulan, dengan purata 8,000 kakitangan bertugas di pelbagai lokasi pada satu-satu masa.
Pada masa sama, baginda menyeru orang ramai supaya memanfaatkan kemudahan LRT3 bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dan mewujudkan sistem mobiliti yang lebih mampan pada masa hadapan.
Laluan LRT3 bernilai RM16.63 bilion itu telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 28 Jun lalu.
Sempena pembukaannya, kerajaan turut menawarkan tambang percuma selama sebulan, termasuk bagi perkhidmatan bas perantara di sepanjang laluan tersebut.
Sumber: Astro Awani
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
Ramai Menyesal Beli SUV , Tapi Malu Nak Mengaku. Ini 6 Sebab Diorang Menyesal
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
5 Kereta Bawah RM100k Yang Paling Sedap Dibawa “Road Trip” Jauh