KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan (MOT) mengesahkan bahawa dianggarkan lebih 1,450 kenderaan rekreasi (RV) telah didaftarkan dalam negara untuk kegunaan persendirian setakat ini.
Pihak kementerian menjelaskan bahawa kategori kenderaan RV yang merangkumi motorhome, karavan, serta campervan (van perkhemahan) merupakan kenderaan yang sah di sisi undang-undang jalan raya, serta boleh didaftarkan dan dilesenkan secara rasmi oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Langkah pengiktirafan ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi baharu dalam negara.

Pihak kementerian melihat pasaran kenderaan rekreasi ini bukan sahaja memberi impak positif kepada industri automotif tempatan, malah mampu menjadi antara pemacu utama kepada sektor pelancongan domestik yang semakin mendapat tempat di hati masyarakat.
“Kerajaan menggalakkan industri RV sebagai segmen khusus yang berpotensi tinggi untuk menyumbang kepada nilai ekonomi rantaian automotif dan sektor pelancongan domestik,”
“Industri ini semakin berkembang dengan penglibatan pengusaha tempatan dalam sektor pembuatan RV serta kemasukan pelabur asing yang membangunkan kilang pembuatannya di Malaysia,” jelas kementerian itu menerusi jawapan bertulis di parlimen.
Kenyataan berkenaan dikeluarkan bagi menjawab soalan daripada Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) yang bertanyakan status pengiktirafan undang-undang struktur RV serta status kemudahan pinjaman sewa beli bagi merancakkan lagi industri tersebut.
Untuk rekod, RV merupakan kenderaan bermotor, termasuk semi-treler dan treler, yang direka secara khas untuk menyediakan mod pengangkutan serta ruang penginapan sementara dengan kelengkapan asas seperti ruang tidur, dapur mini, ruang makan, dan bilik air.
Bagaimanapun, bagi urusan pembiayaan kewangan untuk memiliki kenderaan ini, pihak kementerian menegaskan bahawa kelulusan pinjaman masih tertakluk sepenuhnya kepada budi bicara pihak bank berdasarkan penilaian risiko komersial semasa di bawah garis panduan undang-undang yang telah ditetapkan.
“Institusi perbankan dan syarikat kewangan mempunyai autonomi dalam menentukan penilaian risiko dan kelulusan pinjaman berdasarkan nilai pasaran kenderaan,” tambah kementerian itu lagi mengenai status pembiayaan di bawah Akta Sewa Beli 1967 (Pindaan 2025).
Sumber: Astro Awani
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
5 Kereta Yang Ramai Menyesal Beli Di Malaysia (Menurut Pengalaman Pemilik)
Ramai Menyesal Beli SUV , Tapi Malu Nak Mengaku. Ini 6 Sebab Diorang Menyesal
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?