NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Polis Kejar Subaru Disyaki Kereta Klon, Dua Lelaki Ditahan Positif Dadah

Polis Kejar Subaru Disyaki Kereta Klon, Dua Lelaki Ditahan Positif Dadah

AMPANG – Cubaan melarikan diri daripada polis membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan selepas sebuah Subaru yang dinaiki mereka dikejar dari Bukit Antarabangsa hingga ke Batu Caves, Gombak, awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu menerusi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya kira-kira jam 4.36 pagi.

Menurutnya, beberapa unit Kereta Peronda (MPV) IPD Ampang Jaya kemudiannya digerakkan bagi membantu mengejar kenderaan terbabit.

“Operasi mengejar kenderaan itu bermula dari Jalan Wangsa, Bukit Antarabangsa sebelum bergerak ke arah Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Hulu Kelang.

“Pengejaran kemudiannya berterusan sehingga ke kawasan Batu Caves, Gombak,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Dua Lelaki Ditahan

Hasil operasi tersebut, polis berjaya menahan dua lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an yang berada di dalam kenderaan berkenaan.

Pemeriksaan dan siasatan awal mendapati Subaru terbabit disyaki merupakan sebuah kereta klon.

Pada masa sama, kedua-dua lelaki berkenaan turut didapati positif dadah selepas menjalani ujian saringan air kencing.

Semakan lanjut terhadap rekod lampau pula mendapati salah seorang daripada suspek mempunyai rekod dikehendaki polis berkaitan kes dadah.

Disiasat Halang Polis Jalankan Tugas

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana disyaki menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas.

Polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut, termasuk dakwaan bahawa kenderaan yang digunakan adalah sebuah kereta klon.

Sumber: Sinar Harian

Alym Asri

Sebagai Pengacara & Ketua Editorial NAZZ&CO™ Media, Alym Asri memiliki kepakaran meluas dalam pengendalian siaran langsung, interaksi audiens, dan promosi kandungan digital. Beliau merupakan nadi kreatif yang sentiasa memacu idea-idea inovatif untuk menghasilkan video berimpak tinggi dan terus relevan di pasaran.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy