INDONESIA: Tindakan seorang pelakon Indonesia, Boy Hamzah, yang sebelum ini mencetuskan kontroversi menerusi kenyataannya berkaitan Malaysia kembali menjadi perhatian selepas kemunculannya dalam sebuah rancangan televisyen di Indonesia tular di media sosial.
Menerusi rakaman program bual bicara berkenaan, Boy dilihat cuba mempertahankan kenyataan yang pernah dibuatnya. Namun, keadaan menjadi janggal apabila dia gagal memberikan jawapan yang jelas selepas diajukan satu soalan oleh pengacara program tersebut.
Boy yang hadir sebagai tetamu dalam rancangan Pagi Pagi Ambyar terbitan Trans TV pada awalnya menjelaskan punca ketidakpuasan hatinya terhadap satu hantaran individu yang didakwa seorang guru.
Menurutnya, tindakan individu terbabit yang didakwa memperlekehkan bendera Indonesia dengan menyifatkannya sebagai sesuatu yang mudah koyak telah menjejaskan semangat nasionalismenya.
Bagaimanapun, perbualan mula menjadi perhatian apabila pengacara lelaki, Rian Ibram, meminta Boy menjelaskan secara khusus apakah kenyataan balas yang sebenarnya ingin disampaikannya.
Soalan ringkas daripada Rian itu membuatkan Boy kelihatan teragak-agak sebelum mengulangi frasa ‘statement saya’ beberapa kali tanpa memberikan penjelasan yang benar-benar jelas.
Daripada memperincikan kenyataannya, Boy sebaliknya menjelaskan bahawa dia bukan individu yang mengejar populariti dan mendakwa sudah tidak terlalu berminat dengan dunia hiburan kerana mahu memberikan tumpuan kepada bidang perniagaan.
Dia kemudian membangkitkan isu layanan terhadap warga Indonesia yang bekerja di Malaysia dengan mendakwa sebahagian masyarakat Indonesia sering dianggap sebagai golongan kelas kedua oleh segelintir rakyat Malaysia.
Melihat perbincangan semakin menjurus kepada isu sensitif, Rian mengambil pendekatan lebih tenang dengan memberikan pandangan mengenai persepsi masyarakat terhadap hubungan Malaysia dan Indonesia.
Menurut Rian, seseorang tidak sepatutnya meletakkan dirinya sebagai golongan kelas kedua sehingga mudah berasa tersinggung dengan pandangan orang lain.
Beliau turut menyifatkan hubungan antara masyarakat Malaysia dan Indonesia di media sosial sebagai hubungan yang kadangkala dipenuhi perselisihan, khususnya apabila melibatkan isu bola sepak dan perbezaan pandangan.
Namun begitu, keadaan tersebut tidak bermakna hubungan persaudaraan antara kedua-dua negara perlu terjejas.
Rian turut mengumpamakan tindakan Boy seperti menyimbah petrol ke dalam api yang sedang marak kerana kenyataan sedemikian berpotensi mengeruhkan lagi keadaan.
Apabila ditanya mengenai reaksi pencipta kandungan dari Malaysia yang membalas kenyataannya, Boy sekali lagi memberikan jawapan yang kurang jelas.
Dia mendakwa perkara yang ingin disampaikan masih belum selesai dan meminta orang ramai menantikan video seterusnya.
Bagaimanapun, Boy akhirnya menyatakan kekeliruannya mengenai sebab dia dipanggil ke rancangan tersebut, selain menegaskan bahawa persahabatan antara Malaysia dan Indonesia tidak sepatutnya terputus hanya disebabkan perselisihan seperti ini.
Rakaman perbualan tersebut kemudiannya tersebar luas di platform Threads dan mengundang pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial di Malaysia serta Indonesia.
Antara perkara yang mendapat perhatian ialah cara Rian mengendalikan perbincangan berkenaan. Ramai pengguna media sosial memuji pendekatannya yang dianggap tenang dan tidak mudah terbawa-bawa dengan emosi ketika berdepan isu sensitif.
Dalam masa sama, terdapat juga warganet yang mengkritik tindakan Boy kerana dilihat lebih lantang ketika menyampaikan kenyataan menerusi media sosial, tetapi kurang memberikan penjelasan apabila berhadapan dengan soalan secara langsung.
Sebahagian pengguna turut mengingatkan bahawa tindakan segelintir individu tidak seharusnya dijadikan alasan untuk memburukkan keseluruhan rakyat Malaysia atau Indonesia.
Hubungan kedua-dua negara yang mempunyai persamaan sejarah, budaya dan bahasa seharusnya terus dipelihara walaupun terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan masyarakat.
Apa yang jelas, isu seperti ini menunjukkan pentingnya sikap berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan berkaitan negara lain, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan sensitiviti masyarakat dan hubungan antara dua negara berjiran.
Sumber: VOCKET
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
5 Kereta Yang Ramai Menyesal Beli Di Malaysia (Menurut Pengalaman Pemilik)
Ramai Menyesal Beli SUV , Tapi Malu Nak Mengaku. Ini 6 Sebab Diorang Menyesal
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?