LEEDS: Dua individu masing-masing berusia 22 dan 23 tahun maut selepas kereta dinaiki mereka terlibat dalam perlanggaran dengan sebuah BMW yang sedang dikejar polis di Leeds, Britain, pada Ahad.
Kejadian berlaku sekitar jam 12.44 tengah malam waktu tempatan di Gelderd Road apabila sebuah BMW 123D berwarna biru dilaporkan gagal berhenti selepas diarahkan berbuat demikian oleh sebuah kenderaan polis.
Menurut Polis West Yorkshire, tindakan mengejar kemudian dimulakan sebelum BMW berkenaan merempuh sebuah Volkswagen Scirocco berwarna putih yang sedang membelok untuk memasuki Gelderd Road.
Akibat pelanggaran itu, pemandu Volkswagen, seorang lelaki berusia 22 tahun dari York, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Penumpangnya, wanita berusia 23 tahun yang turut berasal dari York, pula meninggal dunia selepas dibawa ke hospital.
Identiti kedua-dua mangsa bagaimanapun belum didedahkan secara rasmi oleh pihak berkuasa.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang lelaki berusia 39 tahun dari Harrogate ditahan kerana disyaki menyebabkan kematian melalui pemanduan berbahaya serta memandu dengan kandungan ganja melebihi had yang dibenarkan. Dia masih berada dalam tahanan polis.
Tiga lagi individu yang berada di dalam BMW terbabit, terdiri daripada dua remaja lelaki berusia 16 dan 17 tahun serta seorang remaja perempuan berusia 16 tahun, turut dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Ketiga-tiga mereka dilaporkan mengalami kecederaan yang tidak mengancam nyawa sebelum turut ditahan atas tuduhan menyebabkan kematian akibat pemanduan berbahaya.
Sementara itu, Polis West Yorkshire telah merujuk insiden berkenaan kepada Pejabat Bebas Tatakelakuan Polis (IOPC) untuk menjalankan siasatan bebas berhubung kejadian yang berlaku selepas tindakan mengejar kenderaan oleh pihak polis.
Jurucakap IOPC mengesahkan pihaknya memulakan siasatan selepas dimaklumkan mengenai kemalangan maut tersebut.
Siasatan berkenaan diisytiharkan kira-kira jam 2.30 pagi waktu tempatan, sebelum pegawai penyiasat dihantar ke lokasi kejadian serta prosedur pascainsiden polis bagi mengumpulkan bukti berkaitan.
Menurut jurucakap itu, siasatan masih berada pada peringkat awal.
Lokasi kemalangan yang terletak di kawasan Gelderd Road turut menyaksikan beberapa premis pengedar kenderaan berhampiran ditutup sementara bagi memberi laluan kepada kerja-kerja siasatan.
Gambar yang tersebar di media sosial pada malam kejadian menunjukkan kawasan berkenaan ditutup kepada orang awam dengan kehadiran jentera bomba, beberapa kenderaan polis dan ambulans.
Imej tersebut turut memperlihatkan sebuah kereta berwarna gelap berada berhampiran Volkswagen putih yang mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan, di hadapan sebuah premis menjual kereta terpakai.
Kawasan berkenaan kekal ditutup sementara beberapa anggota polis menjalankan pemeriksaan terhadap kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu.
Sumber: Utusan Malaysia
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
5 Kereta Yang Ramai Menyesal Beli Di Malaysia (Menurut Pengalaman Pemilik)
Ramai Menyesal Beli SUV , Tapi Malu Nak Mengaku. Ini 6 Sebab Diorang Menyesal
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?