Sebuah jenama automotif off-road terbaru, JAECOO telah memperlihatkan JAECOO J7, model SUV off-road yang bakal dilancarkan pada pertengahan tahun 2024 pada hari ini. Selain memperlihatkan model ini, JAECOO turut mengumumkan strategi rangkaian pengedar baru untuk menarik minat penonton yang hadir.
J7 ini berukuran 4,500 mm panjang, 1,865 mm lebar, 1,680 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,650 mm. Dengan slogan ‘From Classic’, JAECOO J7 ini didatangkan dengan enjin 1.6-liter turbocas empat-silinder petrol dan mampu menghasilkan 290 Nm manakala output maksimum yang dihasilkan untuk kuasa adalah 194 Ps. Pecutan 0-100 km/j SUV ini didakwa dalam masa 8.0 saat.
Di bahagian luar, model ini dilengkapi dengan ciri seperti lampu utama dan DRL LED, rekaan gril jalur tegak yang besar, dengan rekaan wajah dan badan moden dan minimal. Di dalam, ia hadir dengan ciri seperti kerusi dengan kawalan pendingin, paparan skrin infotainment 14.8-inci dengan kamera 540-darjah, perincincian kemasan permukaan aluminium serta pengecas tanpa wayar dengan pendingin 50w serta 64-warna suasana dalam kabin.
Ciri keselamatan pula senarainya agak lengkap dengan sistem ADAS. Ia merangkumi ciri antaranya seperti AEB, kawalan melayar adaptif, amaran penukaran lorong, kawalan lampu utama pintar, makluman ketika kereta depan bergerak, pengesan titik buta, amaran lintasan trafik di belakang dan banyak lagi.
Seperti yang dirancang, J7 dijadualkan untuk dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada pertengahan tahun 2024. JAECOO akan mengumumkan secara konsisten dengan lebih terperinci mengenai model J7 dan J8 dalam masa terdekat.
Sebarang pertanyaan dan maklumat terkini mengenai JAECOO J7, sila ikuti laman Facebook rasmi JAECOO. Mari kita sama-sama nantikan pelancaran model SUV off-road yang membawa elemen klasik dan moden.