Pada bulan Disember lalu, Proton telah berjaya menjual sebanyak 12,711 unit kenderaan dan sekaligus pengeluar kereta nasional tersebut berjaya menutup tirai tahun 2023 dengan jumlah kesuluruhan sebanyak 154,611 unit termasuk domestik dan eksport.
Angka ini merupakan rekod prestasi terbaik yang pernah dicatatkan oleh Proton sejak 2012 dan ini telah menunjukkan pertumbuhan jualan bagi tahun kelima berturut-turut. Berbanding dengan jumlah keseluruhan pada tahun 2022 iaitu sebanyak 141,432 unit, jumlah jualan pada tahun 2023 menunjukkan peningkatan sebanyak 9.3 peratus.
Proton menganggarkan pegangan pasarannya kini adalah sebanyak 19.4 peratus dari jumlah volum industri (TIV) yang dianggarkan 794,948 unit, atau sekitar 10.3 peratus lebih tinggi dari tahun sebelumnya. Ini membolehkan Proton terus kekal berada di tempat kedua dalam jualan keseluruhan pasaran Malaysia untuk tahun kelima berturut-turut.
Telah terjual sebanyak 70,184 unit, Proton Saga terus kekal sebagai model paling laris dan juga merupakan prestasi terbaiknya sejak tahun 2012. Menurut Proton, ia telah menjadi model pilihan pelanggan untuk kereta pertama mereka. Walau bagaimanapun, Saga menduduki tangga ke empat di dalam kenderaan paling laris di Malaysia bagi tahun 2023.
Berbeza pula dengan model sedan segmen-B Proton iaitu Persona, di mana model ini telah berjaya mencatatkan pertumbuhan jualan yang paling besar pada tahun 2023. Telah berjaya dijual sebanyak 24,362 unit dan menunjukkan peningkatan sebanyak 48.9 peratus berbanding pada tahun sebelumnya.
Walaupun pada tahun lalu, Proton Iriz mempunyai isu bekalan cip, selepas isu tersebut berjaya diselesaikan, model ini turut menunjukkan peningkatan jualan sebanyak 7,639 unit sepanjang tahun 2023 dan meningkat 33.8 peratus berbanding pada tahun sebelumnya.
Proton Exora pula telah ditamatkan produksinya pada bulan Oktober lalu di bilik pameran Proton. Walau bagaimanapun, MPV segmen-C ini masih mampu menyumbang kepada jualan sebanyak 4,473 unit sepanjang tempoh jualannya dan peningkatan sebanyak 4.6 peratus berbanding pada tahun sebelumnya. Menurut Proton, sepanjang pengeluarannya, lebih 194,000 unit telah terjual menjadikan Exora sebagai “MPV segmen C paling berjaya dalam sejarah automotif Malaysia.”
Telah terjual sebanyak 31,829 unit, Proton X50 terus kekal sebagai SUV paling laris dan merupakan peneraju jualan dalam kelas SUV segmen-B di Malaysia. Tidak kurang juga abang longnya iaitu Proton X90 dengan jualan sebanyak 4,815 unit dan merupakan satu lagi model paling laris dalam kelas SUV segmen-D di Malaysia.
Manakala untuk Proton X70, ia terjual sebanyak 11,200 unit sepanjang tahun lalu, membolehkan ia berada di tempat kedua dalam saingan SUV segmen-C di Malaysia.
“Tahun 2023 merupakan satu lagi tahun yang mencatat rekod bagi industri automotif kerana jumlah jualan melonjak sebanyak 10.3 peratus berbanding volum tertinggi sebelumnya yang dicapai hanya dua belas bulan sebelumnya. Faktor seperti pemenuhan pesanan untuk kereta bebas cukai sehingga akhir bulan Mac tidak syak lagi mendorong peningkatan volum pada suku pertama tahun itu, tetapi ia juga merupakan tahun yang aktif untuk pelancaran kereta dengan gangguan minimum yang disebabkan oleh kekurangan alat ganti,” kata CEO Proton, Dr Li Chunrong.
“Proton berterima kasih atas sambutan hangat rakyat Malaysia terhadap produk kami. Kejayaan ini adalah bukti komitmen kami untuk menyampaikan lebih daripada sekadar kenderaan mampu milik kerana kami juga menekankan reka bentuk yang bergaya, teknologi canggih, dan komitmen yang kuat terhadap keselamatan dalam semua model Proton. Menjelang tahun 2024, kami yakin kami akan mengekalkan momentum ini, disokong oleh pengenalan model baharu kami, S70,” tambahnya lagi.
“Kami mengiktiraf perjalanan yang telah kami lalui setakat ini, dan seterusnya menyampaikan kenderaan berkualiti, kami memahami kepentingan menyediakan kebanggaan pemilikan dengan pemilik. Dedikasi kami untuk menambah baik perkhidmatan selepas jualan dan alat ganti telah memainkan peranan penting dalam mencapai kejayaan ini kerana Proton kekal teguh dalam komitmennya untuk penambahbaikan berterusan dan tegas dalam memenuhi dan mengatasi jangkaan pelanggan kami,” ujar Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar dan Naib CEO Proton.
Sumber : Paultan