Taklimat telah diadakan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) berkaitan dengan prestasi jualan tahunan bagi kenderaan di seluruh negara bagi tahun 2023. Sebanyak 799,731 unit kenderaan telah dijual secara keseluruhan (TIV) di negara ini sepanjang tempoh itu. Ini sudah mengatasi angka jualan pada tahun 2022 iaitu sebanyak 721,177 unit kenderaan.
MAA menjelaskan bahawa faktor segmen kenderaan penumpang dan juga dorongan oleh pasaran domestik yang kukuh serta persekitaran sosio-politik yang stabil telah menyumbang kepada peningkatan sebanyak 11 peratus berbanding pada tahun 2022.
Selain itu, jualan tahunan bagi kenderaan hibrid dan juga elektrik (EV) turut meningkat dengan drastik di mana 28,055 unit kenderaan hibrid telah dijual dan 10,159 unit bagi EV. Jumlah sebanyak 38,055 unit telah berjaya dijual pada tahun lalu berbanding pada tahun 2022 iaitu sebanyak 22,619 unit kenderaan. Ia telah menyumbang 5 peratus daripada TIV bagi 2023.
Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 40 peratus berbanding tahun sebelumnya bagi hibrid dan 286 peratus untuk EV dengan hanya 2,631 unit sahaja pada tahun 2022. Walau bagaimanapun, jumlah jualan bagi Tesla tidak termasuk dalam angka tersebut kerana syarikat itu bukan ahli MAA, jadi dijangka angka sebenar adalah lebih tinggi.
MAA mensasarkan pada tahun 2024 untuk jumlah keseluruhan jualan kenderaan bagi hibrid dan EV (xEV) meningkat sebanyak 9 peratus, dengan 2 peratus darinya adalah dari EV. Bagi sasaran TIV pula ialah 740,000 unit bagi tahun 2024, di mana 74,000 unit darinya disasarkan untuk model hibrid manakala 14,800 unit untuk model EV.
Sumber: Paultan