Sempena sambutan Thaipusam pada hari Khamis ini, sebanyak 23 jalan di sekitar Kuala Lumpur akan ditutup dan dilencongkan secara berperingkat bermula pada malam ini.
Bagi memberi laluan perarakan pedati dari Kuil Sri Maha Mariamman, Jalan Tun H.S Lee, Kuala Lumpur menuju ke Kuil Subramaniar Swamy, Batu Caves, penutupan dan lencongan jalan akan bermula pada jam 9 malam ini, menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid.
Tambahnya lagi, antara jalan yang terlibat adalah Jalan Tun H.S Lee, Jalan Sultan, Jalan Tan Cheng Lock, Jalan Pudu, Jalan Tun Perak, Jalan Leboh Ampang, Jalan Munshi Abdullah, Jalan Dang Wangi, Jalan Raja Laut, Jalan Belia, Jalan Sri Amar, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Tun Razak, Jalan Perhentian, Jalan Ipoh Lama dan Jalan Salah.
“Perarakan balik pedati akan bermula pada Jumaat ini pada jam 3 petang melalui jalan yang sama dan akan dibuka secara berperingkat,” katanya dalam sidang media di Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee.
Semua pengguna jalan raya dinasihatkan agar mengelak dari menggunakan jalan-jalan yang terlibat dengan penutupan serta lencongan berkenaan untuk mengelakkan kesesakan jalan raya berlaku pada hari kemuncak.
Orang ramai diminta untuk menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-20719999 atau Hotline Trafik di talian 03-20260267 bagi sebarang pertanyaan atau maklumat.
Sumber : Sinar Harian