Faktor penyebab kemalangan jalan raya di Pahang meningkat hampir 90 peratus adalah dari kecuaian pemandu dan penunggang motosikal. Data ini disokong dengan kaji selidik yang telah dilakukan, menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pahang Supt Kamarulzaman Jusoh @ Mohd Daud.
Sikap gopoh dan tidak mematuhi peraturan lalu lintas seperti memotong di garisan berkembar dan selekoh menyumbang kepada punca peningkatan kemalangan jalan raya, tambah Kamarulzaman. Menurut laporan dari Bernama, “Kebanyakan penunggang motosikal menunggang laju kemudian keluar masuk simpang serta menukar arah lorong tanpa mengambil kira keberadaan kenderaan lain,” katanya.
Selain daripada itu, faktor cuaca dan keadaan permukaan jalan yang beralun dan licin turut menyumbang kepada kemalangan jalan raya di negeri ini. “Pahang negeri yang luas dan keadaan bentuk muka buminya yang kebanyakan berbukit antaranya di Bentong, Cameron Highlands, Raub, Kuala Lipis malah kita di Pantai Timur kerap menerima hujan dan dalam keadaan hujan lebat sekalipun, terdapat pengguna masih memandu laju,” jelasnya.
Peningkatan jumlah kemalangan jalan raya di Pahang pada 2023 telah meningkat 4.8 peratus dari 22,511 kes pada tahun sebelumnya ke 23,591 kes, dengan Kuantan merekodkan kes tertinggi diikuti Bentong, Temerloh, Maran dan Rompin.
“Kemalangan jalan raya di Pahang turut meragut nyawa 492 individu pada tahun lepas berbanding 447 individu pada 2022, iaitu meningkat sebanyak 10.1 peratus. Ia membabitkan kereta mencatatkan angka sebanyak 16,989 kes manakala motosikal 3,355 kes dengan selebihnya lain-lain kenderaan.
“Antara kawasan hotspot kemalangan dikenal pasti antaranya di laluan bypass di Kuantan, Rompin ke Muadzam Shah, Rompin ke Pekan, Kuala Lumpur-Karak dan Kuala Lipis,” katanya.
Notis saman juga telah dikeluarkan sebanyak 153,369 di atas pelbagai kesalahan jalan raya sepanjang tahun 2023. Bagi kutipan kompaun dan bayaran denda mahkamah berkaitan kesalahan trafik, mereka telah berjaya memperoleh lebih 5 juta.
Di akhir ucapan beliau, beliau berpesan supaya semua pengguna jalan raya sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan jangan terburu-buru ketika berada di persimpangan lampu isyarat dan selekoh tajam.
Sumber : Bernama dan Paultan