passionately driven

Beberapa Jalan di Pulau Pinang Ditutup Sempena Thaipusam

Bermula hari ini, beberapa jalan utama di Pulau Pinang akan ditutup bagi memberi laluan kepada perarakan pedati emas dan pedati perak sempena sambutan Thaipusam yang dijangka bakal dihadiri lebih 1 juta penganut agama Hindu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Razlam Ab Hamid telah mengumumkan bahawa beberapa jalan di sekitar bandar raya George Town telah mula ditutup pada jam 5 pagi tadi dan akan dibuka semula pada jam 8 malam Jumaat.

Sebanyak 1,289 pegawai dan anggota polis bakal digerakkan bagi mengawal keadaan sempena sambutan Thaipusam selama tiga hari untuk memastikan kelancaran dan keselamatan orang ramai terpelihara.

“Perarakan melibatkan dua pedati iaitu pedati emas dan pedati perak. Pedati emas akan bergerak esok pukul 5.30 pagi dari Lebuh Queen ke Kuil Thanneermalai Shree Balathandayuthapani Devasthanam dan akan kembali ke Lebuh Queen pada Jumaat pukul 6 petang.

Pedati perak pula akan bergerak pada 6.30 pagi esok dari Lebuh Penang ke Kuil Air Terjun dan kembali ke Lebuh Penang pada Jumaat pukul 7 malam,” katanya pada sidang akhbar pada Selasa.

Antara laluan yang akan ditutup bagi perarakan kedua-dua pedati adalah Jalan Kebun Bunga dan Jalan Gotterlib yang akan ditutup sepenuhnya, manakala bagi Jalan Utama, Jalan Burma, Jalan Macallister, Jalan Cantoment, Jalan Nunn, Jalan Brown, Jalan Scotland, Jalan Masjid Kapitan Keling, Lebuh Victoria dan beberapa jalan lagi ditutup sementara, bergantung kepada pergerakan pedati.

Beliau turut menasihatkan orang awam supaya tidak bermain mercun, tidak meminum minuman keras dan tidak memakai barang kemas yang boleh menarik perhatian penjenayah sebagai langkah menjaga keselamatan.

Sebanyak 8 kes telah direkodkan sepanjang 3 hari pada sambutan Thaipusam tahun lepas, membabitkan kejadian samun dan curi barang kemas serta beg duit.

“Pengunjung juga tidak dibenarkan menerbangkan dron sepanjang sambutan itu kecuali telah mendapat permit dan kebenaran daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM),” katanya.

 

Sumber : Bernama

Kredit Gambar : New Straits Times

Gallery

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD