Kini tiba masa bagi negeri Johor untuk menerima garisan ‘glow in the dark’ selepas persimpangan Jalan Sungai Lalang, Semenyih di Selangor dan Jalan Padang Sanai, Kuala Nerang menghala ke Durian Burung, Padang Terap di Kedah telah menerimanya. Dengan menggunakan pemanasan, Jalan Bukit Kuching di Gelang Patah telah dipilih untuk menerima garisan ‘glow in the dark’ ini.
Walau bagaimanapun, Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor masih tidak mendedahkan lagi maklumat lanjut mengenai projek berkenaan termasuk jarak bagi garisan jalan terbabit. Jika kita lihat projek garisan ‘glow in the dark’ di Kedah, mereka menggunakan elemen additive glass beads yang berfungsi sebagai pemantul (reflector).
Bajet sebanyak RM1 juta telah diperuntukkan dalam Belanjawan Johor 2024 dan JKR akan menyenaraikan dan menilai, mana satu jalan yang sesuai untuk melaksanakan projek garisan ‘glow in the dark’ sebelum hujung tahun ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh.
Kawasan yang tiada pendawaian atau tidak sesuai ada tiang elektrik, kawasan terlalu gelap, selekoh-selekoh berbahaya dan jalan yang menghubungkan antara pekan akan ditumpukan bagi menaik taraf jalan menggunakan teknologi itu, tambahnya lagi. Berbanding garisan pembahagi jalan yang biasa, teknologi yang memantulkan cahaya pada garisan pembahagi jalan itu memerlukan kos yang lebih tinggi untuk dilaksanakan.
Pemasangan cat garisan ‘glow in the dark’ yang pertama seumpamanya di Malaysia telah dilaksanakan oleh JKR Daerah Hulu Langat pada bulan November lepas di persimpangan Jalan Sungai Lalang, Semenyih. Laluan sepanjang 245 meter dengan panjang cat jalan 490 meter telah berjaya dipasang dan ia didapati sesuai digunakan untuk kawasan laluan gelap yang tiada lampu jalan dan salah satu alternatif melibatkan penggunaan ‘roadstud/mata kucing’.
Sumber : Paultan
Kredit Imej : JKR Johor