Satu surat yang menyatakan bahawa Toyota Vios miliknya terlibat dalam satu “Kempen Servis Istimewa” telah dimuat naik oleh seorang individu yang tidak mahu dikenali di dalam Facebook Page Toyota Vios 3rd & 4th Gen Community semalam.
Lebih mengejutkan, terdapat pengguna lain yang turut memberikan komen bahawa mereka juga menerima surat yang sama dan memiliki sebuah Toyota Vios yang diterima pada bulan Julai 2023. Oleh itu, kami menjangkakan bahawa panggilan semula ini melibatkan Toyota Vios generasi terkini yang telah dilancarkan pada Mac 2023.
Semakan turut telah dilakukan oleh rakan media kami, Paultan, dengan sumber rasmi di UMW Toyota Motor dan mereka telah mengesahkan bahawa selain Vios, Toyota Veloz juga turut terlibat dan akan dipanggil semula ke Kempen Servis Istimewa ini. Walau bagaimanapun, masih tiada maklumat lanjut mengenai panggilan semula ini buat masa sekarang.
Dari apa yang kami dapat lihat di dalam surat itu, Toyota menyatakan bahawa kempen ini bertujuan untuk memanggil semula pemilik kenderaan supaya menghantar kenderaan mereka ke pusat servis Toyota untuk tujuan mengetatkan semula nat pemasangan penyerap hentak hadapan. Hal ini kerana, nat tersebut mungkin tidak diikat dengan kadar tork secukupnya.
Kredit Imej : FB Page Toyota Vios 3rd & 4th Gen Community
“Jika kenderaan terus digunakan dalam keadaan ini nat berkenaan mungkin akan longgar, menyebabkan bunyi yang tidak normal terhasil, dan nat tersebut mungkin tercabut, menyebabkan kenderaan hilang kestabilan. Oleh itu kami menjalankan kempen servis istimewa ini bagi menyelesaikan masalah berkenaan,” tulis surat tersebut.
Segala kos pembaikan bakal ditanggung sepenuhnya oleh Toyota Malaysia dan proses akan mengambil masa sekitar 30 minit untuk mengetatkan nat berkenaan.
Sumber : Paultan