Awal pagi semalam, pihak polis telah mengesahkan bahawa sebuah kereta polis bantuan jenis Proton Preve di Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Mutiara Damansara telah dibaling dengan bom molotov cocktail.
Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner, Mohd Fakhrudin Abdul Hamid, laporan telah diterima pada pagi semalam berkenaan kereta polis yang telah dibakar itu. Suspek yang merupakan pekerja p-hailing telah ditahan di rumahnya, di Flora Damansara, kira-kira jam 12 tengahari semalam.
Suspek berusia 26 tahun dan dipercayai mempunyai beberapa barang larangan dan telah melakukan vandalisme dan menconteng dinding hentian bas. Pihak polis telah merampas barang larangan yang digunakan.
Selepas siasatan telah dijalankan dan keterangan telah diambil, suspek dipercayai membakar kereta polis dan menconteng dinding hentian bas kerana ingin mendapatkan rating tinggi di aplikasi TikTok.
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya telah mengeluarkan satu kenyataan petang semalam di mana suspek berusia 26 tahun itu bertindak sedemikian agar video rakaman perbuatan itu dapat dimuat naik melalui telefon bimbitnya.
Siasatan awal juga mendapati suspek telah menconteng carutan anti-kerajaan pada dinding hentian bas berdekatan dengan kereta polis yang dibakar. Pihak polis sedang menyiasat sama ada suspek ada terlibat atau berkait dengan mana-mana parti politik atau kumpulan pelampau.
Kes disiasat mengikut Seksyen 435/427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat dengan api. Hukuman penjara maksimum sebanyak 14 tahun dan denda akan dikenakan jika disabit kesalahan.
Sumber : MalaysiaKini