Proses Melebarkan Lebuhraya Plus Di Johor Dimulakan Jun Ini

Datuk Seri Hasni Mohammad, Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), mengumumkan bahawa pelebaran Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dari empat lorong kepada enam lorong di Johor akan dimulakan pada bulan Jun ini. Menurut laporan Harian Metro, projek pelebaran akan bermula dengan Fasa Satu yang melibatkan laluan dari Senai Utara ke Sedenak, dengan jarak sejauh 21.8 kilometer (km), dan dijangka mengambil masa selama 36 bulan untuk diselesaikan.

“Projek pelebaran Lebuhraya PLUS di Johor dari empat kepada enam lorong akan bermula dari Senai Utara ke Sedenak, bermula Jun ini, untuk fasa pertama. Projek dengan jarak 21.8 km itu dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.” katanya. Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan projek pelebaran Lebuhraya PLUS daripada empat kepada enam lorong pada 12 Oktober lalu.

Beliau menjelaskan bahawa tempoh masa yang diperlukan adalah kerana kerja pelebaran dari Senai Utara ke Sedenak agak mencabar disebabkan oleh keadaan muka bumi yang berbukit dan curam. Manakala projek pelebaran Fasa Dua dari Sedenak ke Machap akan bermula pada awal 2025. Buat masa ini, Hasni menyatakan bahawa pihaknya sedang mempertimbangkan untuk melanjutkan projek sehingga ke kawasan Ayer Hitam dengan jarak 17.3 km.

Beliau, yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam, berharap agar projek pelebaran Lebuhraya PLUS di Johor diberi keutamaan dan berjalan lancar agar tidak berlaku kelewatan daripada jadual. Beliau turut menambah bahawa LLM akan memberi keutamaan kepada pengurusan trafik semasa di kawasan pelebaran dilaksanakan berikutan jangkaan kesesakan lalu lintas.

“Pengurusan pelan trafik di kawasan pelebaran jalan sedang diperhalusi termasuk contohnya kenderaan berat yang menggunakan lebuhraya akan dijadualkan perjalanan mereka. Sebahagian kenderaan berat juga akan dialihkan menggunakan jalan Persekutuan, namun ia masih diteliti dan dibincangkan,” katanya.

Pada masa kini, laluan Lebuhraya PLUS dari Kuala Lumpur ke selatan hanya mempunyai enam hingga lapan lorong sehingga ke Melaka sahaja. Namun, selepas itu, laluan hanya menyusut kepada empat lorong (dua lorong sahaja) sehingga ke Tol Skudai. Keadaan ini tidak hanya menyebabkan kesesakan lalu lintas semasa waktu puncak, cuti, dan perayaan, tetapi juga telah menyebabkan banyak kemalangan maut berlaku.

Dalam Belanjawan 2024 yang diumumkan pada bulan Oktober tahun lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyatakan bahawa kerajaan bersetuju untuk melaksanakan projek pelebaran Lebuhraya PLUS dari empat hingga enam lorong yang akan dilanjutkan dari Sedenak ke Simpang Renggam, Johor. Kos peruntukan sebanyak RM931 juta telah diperuntukkan untuk projek ini.

 

Sumber : Paultan, MyMetro

Gallery

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD