Lebih separuh daripada ratusan jalan raya di Selangor telah tamat tempoh hingga ada di antaranya melebihi usia 40 tahun. Menurut Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim, antara jalan raya yang terlibat adalah jalan persekutuan, jalan negeri dan jalan perbandaran.
Tambah beliau lagi, kebiasannya usia sesebuah jalan raya itu hanya mampu bertahan antara 20 hingga 25 tahun dan selebihnya sudah memerlukan proses naiktaraf selepas tempoh berkenaan.
“Lebih separuh jalan di negeri ini perlu dinaik taraf secara berperingkat kerana sudah habis jangka hayat,” katanya ketika ditemui selepas meninjau Stesen Pam Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) di Kampung Rantau Panjang, Bestari Jaya Isnin lalu.
Walau bagaimanapun, isu utama yang sedang dihadapi adalah kos atau peruntukan bagi menaik taraf semua jalan tersebut. Beliau menjelaskan, peruntukan daripada Sistem Maklumat Rekod Jalanraya Malaysia (Marris) tidak boleh digunakan bagi kerja-kerja menaik taraf jalan.
“Kita telah mengenal pasti jalan-jalan ini, namun sukar dijalankan sepenuhnya kerana peruntukan tidak mencukupi,” ujarnya. Pihak beliau turut sudah melakukan Penilaian Keadaan Turapan (PCA) untuk mengenal pasti jalan yang amat kritikal.
“Kita mempunyai senarai dan telah membuat inventori bagi menaik taraf jalan yang memerlukan tindakan segera. Dana besar ini diperlukan kerana jalan rosak melibatkan struktur dan bukan penurapan semata-semata,” jelas Izham.
Sumber : Sinar Harian