Kemalangan membabitkan enam buah kenderaan di Kilometer 184 Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan telah mengakibatkan seorang bayi lelaki berusia 2 bulan yang dalam perjalanan untuk meraikan majlis akikahnya maut, semalam.
Mangsa yang bernama Mohamad Sufyan Mohamad Shahizwan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan disahkan meninggal dunia ketika sedang mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.
Menurut Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi, keluarga mangsa dalam perjalanan pulang dari Putrajaya ke kampung keluarganya di Kluang, Johor untuk meraikan majlis akikahnya dan merupakan anak angkat kepada seorang pegawai polis di Kluang.
Kata beliau lagi, setibanya di lokasi kejadian, sebuah treler yang membawa muatan kereta dipercayai hilang kawalan telah merempuh kereta Perodua Ativa yang dinaiki empat sekeluarga termasuk bayi itu.
Kredit : Sinar Harian
“Ketika kejadian kereta dinaiki mangsa berada di lorong kiri sebelum dirempuh treler yang dipandu oleh lelaki berusia 39 tahun. Mangsa yang diletakkan di bahagian tempat duduk belakang bersama abangnya berusia tiga tahun bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada jam 2.55 petang di hospital,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Selain merempuh Perodua Ativa terbabit, treler terbabit turut merempuh 4 buah lagi kenderaan iaitu sebuah lori, sebuah pikap trak Ford Ranger, Perodua Myvi dan Mercedes-Benz dalam kemalangan terbabit. Kesemua pemandu dan tiga penumpang dilaporkan selamat dan tiada kecederaan.
“Polis telah mengambil sampel darah pemandu treler untuk analisis kimia bagi memastikan ada atau tidak kehadiran alkohol. Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi.
Sumber : Sinar Harian