passionately driven

Panggilan Semula Beg Udara Takata, Gesa Pemilik Segera Buat Pembaikan – Audi Malaysia

PHS Automotive Malaysia (PHSAM), pengedar rasmi jenama Audi untuk pasaran Malaysia telah menggesa semua pemilik kenderaan yang terlibat dengan panggilan semula beg udara keluaran Takata untuk segera berkunjung ke pusat servis bagi membuat kerja-kerja pemeriksaan dan pembaikan.

Sebanyak 2,297 unit kenderaan yang terdiri dari model Audi Q5, A5 Cabriolet dan A5 Sportback yang diproduksi di antara tahun 2009 hingga 2012 terlibat dalam panggilan semula ini serta Audi TT dan R8 yang diproduksi di antara tahun 2014 hingga 2017 di mana beg udara Takata telah dipasang pada bahagian pemandu.

Selain itu, beg udara Takata yang dipasang pada penumpang hadapan untuk model Audi A4, A4 Cabriolet dan A6 yang diproduksi di antara tahun 2005 hingga 2011 turut mengalami isu yang sama. Setakat ini, PHSAM telah mendedahkan jumlah pemilik yang telah datang untuk membuat pembaikan hanyalah 25% sahaja iaitu hanya 569 unit dari jumlah keseluruhan.

PHSAM telah menjelaskan bahawa generator gas pada beg udara hadapan Takata yang terjejas mungkin pecah apabila beg udara diaktifkan semasa kemalangan, jika bahan dorong di dalamnya menunjukkan tanda-tanda dimakan usia berikutan kesan keadaan sekeliling yang ekstrem.

Ini boleh mendatangkan kecederaan yang parah kepada penumpang jika serpihan-serpihan besi daripada gas generator boleh masuk ke dalam kabin.

“Justeru, pemilik dinasihatkan supaya memeriksa dan menggantikan beg udara itu secepat mungkin di pusat servis Audi bagi memastikan kenderaan dapat berfungsi pada standard keselamatan terbaik. Bergantung kepada pemasangan beg udara Takata dan model kereta, komponen bahan dorong atau modul penuh pemacu beg udara terbabit perlu diganti tanpa sebarang kos,” kata PHSAM dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Pemeriksaan 20 poin secara percuma akan diberikan sebagai tanda penghargaan kepada pemilik yang telah datang untuk menukar atau memeriksa beg udara Takata mereka, tambah PHSAM.

Sekiranya anda tidak pasti kenderaan anda terlibat atau tidak, anda boleh memeriksa sendiri di laman web rasmi Audi Malaysia dengan memasukkan nombor pengenalan kenderaan anda pada bahagian bawah kiri cermin utama.

Pemilik juga boleh menghubungi Audi Customer Service di talian 1-800-22-2834 atau e-mel ke info@phsautomotive.com.my untuk membuat temu janji bagi pemeriksaan kereta percuma dan penggantian jika perlu atau berkunjung sahaja ke pusat servis Audi berdekatan anda.

 

Sumber : Paultan

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD