Menurut laporan portal berita Jepun Kyodo News, Nissan kini sedang mempertimbangkan untuk bekerjasama dengan Honda dalam sektor kenderaan elektrik (EV) dan ini bakal mewujudkan kerjasama di antara 2 jenama besar di Jepun untuk bersaing dengan pengeluar EV luar seperti Tesla dan BYD.
Untuk mengurangkan kos, Nissan kini sedang mempertimbangkan untuk berkongsi perolehan alat ganti dan komponen utama bagi model-model EV akan datang bersama Honda, menurut sumber rapat dari laporan Kyodo News. Walau bagaimanapun, Honda masih tidak memberikan sebarang kenyataan berkenaan kerjasama ini kerana perbincangan masih di peringkat awal.
“Boleh saya katakan ia adalah satu langkah yang realistik. Mereka juga boleh meluaskan skop kerjasama kepada kereta hibrid dan bateri,” kata penganalisis kanan Makmal Kajian Tokai Tokyo, Seiji Sugiura dalam laporan Kyodo News tersebut.
Nissan telah mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan 19 EV baharu menjelang tahun 2030 ketika strategi Ambition 2030 pada Februari tahun lalu manakala Honda juga telah menyasarkan untuk melancarkan 30 EV baharu menjelang tahun 2030 ketika mereka mengumumkan rancangan EV mereka pada tahun 2022.
Selain itu, untuk mewujudkan Sony Honda Mobility bagi pembangunan bersama “kenderaan elektrik bateri dengan nilai tambah tinggi”, memorandum persefahaman (MoU) di antara Honda dan Sony telah ditandatangani pada Mac 2022. Hasil daripada kerjasama itu telah mewujudkan jenama Afeela, dengan kereta pertamanya akan mula dijual di Amerika Utara pada tahun 2026.
Honda turut memilih untuk bekerjasama dengan General Motor (GM) pada 2022 untuk menghasilkan EV mampu milik menggunakan platform Ultium rekaan GM namun kerjasama tersebut berakhir tidak lama selepas itu kerana kedua-dua syarikat tersebut tidak berjaya dan bukan mudah untuk menghasilkan produk sedemikian.
Sumber : Kyodo News | Paultan