Seorang pelajar Kolej Komuniti Jasin telah maut dalam kemalangan selepas pulang dari sahur bersama rakannya di Kampung Sebatu, Sungai Rambai, awal pagi tadi.
Mangsa yang dikenali sebagai Ibrahim Mohd Adham, berumur 19 tahun, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Menurut Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi, mangsa sedang dalam perjalanan pulang ke rumah sewa mereka di Merlimau selepas bersahur dengan rakannya yang menunggang motosikal lain.
Walau bagaimanapun, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikal jenis Yamaha Lagenda 115z dan telah terbabas dan tercampak ke tepi jalan setibanya di lokasi kejadian.
“Berdasarkan maklumat rakannya, mereka baharu bersahur berdua dan mahu pulang ke rumah. Ketika kejadian rakannya itu berada jauh di depan dan tidak nampak kejadian menimpa mangsa yang juga merupakan pelajar semester satu di kolej itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.
Proses bedah siasat akan dijalankan pada hari ini dan keluarga mangsa yang berada di Selangor telah dimaklumkan mengenai insiden terbabit dan sedang dalam perjalanan untuk menuntut jenazah mangsa.
“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Sumber : Sinar Harian