passionately driven

Op Lancar Dilaksana Sempena Bulan Ramadan Bagi Mengawal Aliran Trafik – PDRM

Sepanjang bulan Ramadan ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melaksanakan Op Lancar bagi memastikan kelancaran aliran trafik.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri, beberapa kawasan ‘hotspot’ yang berlaku kesesakan lalu lintas telah melaksanakan Op Lancar.

“Kita mengenal pasti sebanyak 242 lokasi kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya dalam program Malaysia Hari Ini, di sini pada Rabu.

Seramai 200 anggota dan pegawai JSPT telah ditugaskan untuk mengawal lalu lintas di 142 lokasi sekitar Kuala Lumpur.

“Jumlah kenderaan yang direkodkan di ibu kota dalam tempoh dua jam adalah sebanyak 250,000 pergerakan kenderaan. Manakala di Selangor pula, kita telah kenal pasti 100 lokasi kesesakan lalu lintas yang melibatkan 16 daerah,” katanya.

Tambah beliau, sudah boleh dijangka bahawa kesesakan lalu lintas akan berlaku terutamanya pada bulan Ramadan.

“Ia kerana beberapa perkara antaranya majikan memberikan pelepasan awal kepada pekerja untuk pulang ke rumah serta masyarakat mengambil peluang pergi ke bazar Ramadan.

Sehingga Disember lalu, sebanyak 36.6 juta kenderaan telah didaftarkan di Malaysia. “Daripada jumlah itu, sebanyak 23 juta kenderaan berstatus aktif yang bergerak di jalan raya,” katanya.

Statistik pergerakan kenderaan pada setiap hari di Lembah Klang adalah sebanyak 1.2 juta kenderaan. “Pada hujung minggu jumlah pergerakan kenderaan adalah hampir 800,000 kenderaan yang memasuki ibu kota,” katanya.

Mengulas lanjut, sebanyak 599,961 kes kemalangan telah direkodkan pada tahun lalu dan lebih 6,000 kematian dicatatkan yang berpunca dari kemalangan jalan raya.

“Daripada hasil analisis, kita mendapati lebih 90 peratus punca kemalangan adalah sikap dan ia melibatkan kecuaian pemandu sendiri.

“Pengguna jalan raya perlu mengawal emosi dan tingkah laku supaya tidak mengambil tindakan yang boleh memudaratkan kepada diri sendiri,” katanya.

 

Sumber : Sinar Harian

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD