SAIC Motor Malaysia Sdn Bhd telah melancarkan sebuah model hatchback lima-pintu elektrik baharu iaitu MG4 EV dan mengumumkan harga rasmi pada hari ini di MITEC, Kuala Lumpur. Empat varian telah ditawarkan bagi model ini bermula dari Standard, Lux, Lux Extended Range dan XPOWER.
Bagi varian Standard, dengan kuasa 170 Ps dan 250 Nm tork, ia didatangkan dengan spesifikasi motor elektrik tunggal. Ini sudah cukup untuk menggerakkan kereta ini ke 100 km/j dalam masa 7.5 saat dan kelajuan maksimum adalah sebanyak 160 km/j. Dengan menggunakan bateri lithium iron phosphate 51 kWh, ia mampu bergerak sejauh 350 km dalam kitaran WLTP.
Bagi varian Lux, dengan kuasa 203 Ps dan 250 Nm tork, ia didatangkan dengan spesifikasi motor elektrik tunggal. Ini sudah cukup untuk menggerakkan kereta ini ke 100 km/j dalam masa 7.7 saat dan kelajuan maksimum adalah sebanyak 160 km/j. Dengan menggunakan bateri lithium iron phosphate 64 kWh, ia mampu bergerak sejauh 435 km dalam kitaran WLTP.
Bagi varian Lux Extended Range, dengan kuasa 245 Ps dan 350 Nm tork, ia didatangkan dengan spesifikasi motor elektrik tunggal. Ini sudah cukup untuk menggerakkan kereta ini ke 100 km/j dalam masa 6.1 saat dan kelajuan maksimum adalah sebanyak 180 km/j. Dengan menggunakan bateri lithium iron phosphate 77 kWh, ia mampu bergerak sejauh 520 km dalam kitaran WLTP.
Bagi varian XPOWER, dengan kuasa 435 Ps dan 600 Nm tork, ia didatangkan dengan spesifikasi dua motor elektrik dan menggunakan pacuan semua roda (AWD). Ini sudah cukup untuk menggerakkan kereta ini ke 100 km/j dalam masa 3.8 saat dan kelajuan maksimum adalah sebanyak 200 km/j. Walau bagaimanapun, ia menggunakan bateri lithium iron phosphate 64 kWh dan mampu bergerak sejauh 385 km dalam kitaran WLTP.
Bagi tiga varian teratas, ia diberikan lampu utama projektor LED dengan teknologi reflektif (unit projektor LED untuk Standard), palang pencahayaan sentral dengan paten di belakang, Twin Aero Spoiler, cermin sisi boleh lipat, roda aloi 18-inci (bersama kaliper jingga untuk XPower sahaja/Standard hanya aloi 17-inci) dan bumbung hitam. Manakala ciri standard untuk semua varian termasuk lampu nyalaan siang LED, lampu utama automatik on/off, spoiler belakang dan lampu belakang LED.
MG4 EV ini turut dilengkapi dengan kokpit maya tujuh-inci, paparan ‘terapung’ 10.25-inci, kawalan suhu automatik, roda stereng balutan kulit dan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Selain itu, varian Standard hanya diberikan empat-pembesar suara, upholstery fabrik dan larasan manual bagi tempat duduk hadapan.
Manakala tiga varian teratas menerima enam-pembesar suara dengan efek 3D, dwi tona dengan jahitan jingga untuk serlahan kabin (Lux dan Extended Lux sahaja), pengecas telefon tanpa wayar, tempat duduk hadapan dengan larasan kuasa enam-cara, Mobile Phone BT Key, cermin pandang belakang auto-kelam, dan upholstery kulit Alcantara dengan rona hitam. Varian XPower pula menerima ciri tambahan metal sport pedal dan Launch Control.
Bagi sistem keselamatan pula, ia dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu MG Pilot yang merangkumi Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), AEB dengan pengesan pejalan kaki dan penunggang basikal, Kawalan Kelajuan Adaptif (ACC), Bantuan Kesesakan Trafik (TJA), Amaran Ketibaan Lorong (LDW), Bantuan Kekal Lorong (LKA) dan Bantuan Lampu Tinggi Pintar secara standard untuk semua varian.
Manakala tiga varian tertinggi menerima ciri keselamatan tambahan iaitu Pengesan Titik Buta (BSD), Bantuan Tukar Lorong (LCA), Kepekaan Trafik Lintasan Belakang (RCTA), Amaran Membuka Pintu (DOW), dan kamera 360-darjah.
Hatchback elektrik ini berukuran 4,287 mm panjang, 1,836 mm lebar dan 1,504 mm tinggi, dengan jarak antara roda 2,705 mm. Ia memiliki ruang penyimpanan barangan di belakang berkapasiti 363 liter dan meningkat hingga 1,177 liter sekiranya tempat duduk belakang dibaringkan.
Ia ditawarkan dengan tujuh pilihan warna iaitu Holburn Blue, Camden Grey, Monument Silver, Black Pearl, Artic White, Dynamic Red dan Volcano Orange dengan harga bermula dari varian Standard pada RM103,999 (on-the-road tanpa insurans), Lux pada RM128,999, Lux Extended Range pada RM148,999 dan XPOWER pada RM158,999. Pemilik akan menerima pakej waranti yang menyeluruh termasuk waranti kenderaan 7 tahun/150,000 km dan jaminan bateri hebat selama 8 tahun/180,000 km.