Timbalan CEO Proton, Roslan Abdullah, telah mengesahkan bahawa Proton bakal memperkenalkan kenderaan elektrik (EV) seawal tahun 2025 dan ia merupakan model serba baharu, bukan model rebadge dari Geely mahupun Proton sendiri. Hal ini kerana, Proton kini masih dalam peringkat ujian setelah proses rekaan dan prototaip selesai, tambah beliau.
“Model EV berkenaan merupakan model serba baharu, yang bukan model rebadge dari Proton atau pun Geely. Peringkat R&D melibatkan rekaan dan prototaip telah pun selesai, dan kini ia sedang diuji. Sedang menantikan masa untuk memulakan produksi, yang akan kami umumkan kelak.
“Kami sasarkan untuk memperkenalkannya pada awal tahun hadapan sebagai menyahut saranan kerajaan Malaysia. Kalau boleh…kami memang mahu mengeluarkannya lebih awal dari jangkaan yang disasarkan,” katanya sewaktu ditemui selepas selesai majlis tayangan perdana filem pendek Proton berjudul “Syurgaku” sempena Aidilfitri.
Akan ada dua versi untuk model EV ini iaitu versi Proton dan juga versi Geely. Ini bermakna untuk kedua-dua pasaran akan ada unit pemanduan di sebelah kiri dan juga sebelah kanan. Walau bagaimanapun, berdasarkan kesesuaian pengguna dan pemandu di Malaysia, Proton akan terlibat dengan lebih banyak dan memberi input yang sesuai.
Pada peringkat permulaan, EV ini akan dipasang di China memandangkan di sana sudah ada fasiliti yang diperlukan.
“Jika nak terus buat di Malaysia, kita perlukan fasiliti baharu. Kerajaan Malaysia nak cepat (untuk Proton keluaran EV), jadi kita perlu buatkan sesuatu, dan dengan insiatif yang kerajaan bagi iaitu model EV CBU masih mendapat pengecualian cukai, jadi kita laksanakannya (pemasangan EV di China). Tapi dalam masa yang sama, kita merancang untuk CKD,” tambahnya lagi.
Dari segi harga, pihak Proton masih sedang membuat penilaian memandangkan beberapa syarikat pengeluar EV dari China saling menawarkan harga mampu milik ke negara ini.
“Ia kena seimbang antara julat bateri (battery range) dan harga. Kena membuat penilaian mengenai banyak perkara, tetapi kami akan memberikan harga yang terbaik. EV keluaran kami memfokuskan harga yang mampu milik di samping fungsi, dan praktikalitinya,” katanya lagi.
Sumber : Paultan