Petronas bakal menjalinkan kerjasama dengan Johor Darul Takzim (JDT) Racing Team dari segi jentera perlumbaan dan sekaligus bantu untuk membangunkan semula Litar Pasir Gudang yang terletak di Johor.
Memetik dari laporan Flash Sukan, menurut Prinsipal Pasukan JDT Racing Team, Steven Tan, Petronas yakin dengan impak yang dibawa oleh pasukan tersebut dan juga pemiliknya iaitu Pemangku Sultan Johor, DYAM Tunku Mahkota Ismail.
“Memang benar saya sudah membawa Petronas untuk menghadap Pemangku Sultan Johor dan semuanya baik serta pihak kami sedang dalam proses melengkapkan kertas kerja untuk mendapatkan kelulusan daripada ahli lembaga pengarah mereka.
“Mereka berminat untuk menaja dan menjalin kerjasama dengan JDT Racing Team dan mereka juga kini sedar nilai pasukan ini terutama selepas melihat penglibatan Tunku Ismail secara langsung dalam projek ini yang boleh saya gambarkan sebagai impak jenama Tunku dan JDT itu sendiri,” katanya.
Selain dari jentera perlumbaan, Steven turut mengesahkan bahawa mereka akan membangunkan semula Litar Pasir Gudang untuk dijadikan hab permotoran dan mencari bakat menerusi akademi JDT Racing Team.
“Kerjasama ini turut akan melibatkan pembangunan semula Litar Pasir Gudang dan juga akademi permotoran JDT sekali gus bakal melihat Tunku Mahkota Ismail sekali lagi mencipta sejarah kali ini dalam sukan permotoran dua roda pula,” jelasnya.
Litar Pasir Gudang merupakan litar ikonik yang pernah melahirkan ramai pelumba antarabangsa di kalangan anak jati Johor. Ia juga pernah menganjurkan perlumbaan yang menarik penyertaan pelumba luar seperti Johor Race Series, Asia Festival of Speed (AFOS) serta pernah menjadi menganjurkan Grand Prix Motosikal Dunia pada tahun 1998.
Litar berkenaan dikhabarkan hanya akan ditutup sementara pada 2016 untuk kerja-kerja naik taraf, namun ia terbiar selepas itu tanpa tanda-tanda bakal dibuka semula.
Sumber : Flash Sukan