Memetik dari laporan The Star, empat lebuhraya yang dikendalikan oleh Amanah Lebuhraya Rakyat (ALR) tidak akan mengalami kenaikan harga tol sehingga tempoh konsesi masing-masing berakhir. Antara lebuhraya yang terlibat adalah Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Sprint, Lebuhrara Damansara-Puchong (LDP) dan Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART).
Menurut CEO Kumpulan ALR Sazally Saidi, langkah itu akan menjana kira-kira antara RM 800 juta hingga RM1 bilion dalam penjimatan langsung untuk pengguna lebuhraya dan kerajaan dari segi pampasan tol.
Pada akhir 2021, ALR telah ditubuhkan sebagai entiti persendirian yang bukan berasaskan keuntungan bagi mempercepatkan tempoh konsesi dan mengembalikan empat lebuhraya terbabit kepada kerajaan Malaysia. ALR kemudiannya berjaya menyelesaikan pemerolehan semua sekuriti empat syarikat konsesi lebuhraya terbabit pada Oktober 2022. Lebih membanggakan apabila dalam bulan yang sama, ALR berjaya menerbitkan sukuk murabahah bernilai RM5.5 billion untuk membiayai pengambilalihan.
Ketua Pegawai Korporat dan Transformasi Kumpulan, Low Jo-Lyn berkata kadar tol semasa untuk empat lebuhraya terbabit dijangka akan dikekalkan sekurang-kurang 10 tahun akan datang. “Sukuk ALR yang diterbitkan pada 2022 mempunyai tempoh matang selama 15 tahun tetapi lebih banyak trafik di lebuhraya kita, maka lebih pendek konsesi. Oleh itu, diramalkan bahawa ALR sepatutnya mampu membayar balik sukuk menjelang 2033 atau 2034,” jelas Low.
Turut didedahkan bahawa penyelesaian awal sukuk bakal memendekkan lagi konsesi tol kepada kerajaan dan struktur syarikat itu dijangka menjana anggaran sebanyak RM500 juta dalam penjimatan langsung setahun daripada kumpulan lebuhraya itu kepada pengguna.