MOT Nafi Dakwaan JPJ Diberi KPI Untuk Keluarkan 13,000 Saman Sepanjang Aidilfitri

Baru-baru ini telah tular dakwaan di mana pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu mencapai KPI untuk mengeluarkan saman sebanyak 13,000 sepanjang perayaan Aidilfitri. Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, telah menegaskan dan menafikan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak benar dan palsu.

“Yang pertamanya, saya ingin menasihatkan orang ramai jangan percaya berita palsu, terutamanya benda-benda yang tular dalam media sosial ini bukan semuanya benar… check dulu faktanya. Prinsip kita ialah mengurangkan kemalangan. KPI kita ialah mengurangkan kemalangan jalan raya, dan bukannya mengeluarkan saman… tak ada KPI keluarkan saman. Itu yang saya hendak tegaskan, tak ada KPI daripada Kementerian Pengangkutan kepada JPJ untuk keluar berapa saman. Itu KPI yang palsu…itu adalah kenyataan yang palsu.

“KPI kita ialah orang selamat bukannya berapa saman dikeluarkan. Jadi benda itu tak betul…orang ramai jangan percaya. Tugas JPJ ialah untuk memastikan keselamatan orang ramai. Operasi memang ada, operasi adalah untuk melihat sama ada pematuhan kepada undang-undang atau tidak. Bukannya operasi untuk keluarkan saman. Tapi kalau mereka salah, saman dikeluarkan,” tegas beliau.

Tidak cuma itu, mesej yang telah tular menerusi aplikasi WhatsApp baru-baru ini turut menyatakan sebanyak 1,500 kenderaan bakal disita dari 1 hingga 20 April, selain dari dakwaan JPJ perlu mengeluarkan sebanyak 13,000 saman sepanjang tempoh itu.

Apa yang pasti, pihak JPJ telah pun memulakan operasi khas bermula dari 1 hingga 20 April terhadap kesalahan jalan raya seperti tidak memakai tali pinggang keledar, memotong di garisan berkembar, memotong barisan, menggunakan telefon bimbit semasa sedang memandu dan banyak lagi. Pengguna jalan raya diingatkan untuk sentiasa mematuhi peraturan jalan raya yang telah ditetapkan dan memandu dengan berhemah bagi mengelakkan kemalangan jalan raya yang tidak diingini berlaku.

 

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD