Untuk mengurangkan kesesakan trafik menjelang perayaan Aidilfitri nanti, Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan telah menyarankan kepada sebahagian daripada perantau untuk menggunakan laluan FT04 iaitu jalan Gua Musang-Jeli.
Menurut Pengarah JKR Kelantan, Mohd Suhaili Ismail, bagi pemandu yang menghala ke Rantau Panjang, Tumpat, Tanah Merah dan Pasir Mas, anda dinasihatkan untuk menggunakan laluan FT04 bagi mengelakkan kesesakan jalan raya di laluan Gua Musang-Kuala Lipis yang akan bermula pada hari ini.
“Kebiasaannya pengguna jalan raya akan tertumpu kepada laluan Gua Musang-Kuala Krai (FT08), jadi kita minta kerjasama perantau untuk menukar laluan menggunakan jalan Gua Musang-Jeli (FT04). Beberapa papan tanda akan diletakkan untuk memaklumkan perantau supaya menggunakan laluan ini.
“Dengan ini, kita dapat mengurangkan jarak kesesakan jalan Gua Musang-Kuala Krai,” katanya kepada pemberita pada Mesyuarat Penyelarasan Trafik di Bilik Gerakan Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang.
Tambah beliau lagi, kerajaan juga telah menguatkuasakan larangan kenderaan berat untuk menggunakan jalan raya bermula 8 April sehingga 14 April ini sebagai langkah keselamatan. Selain itu, laluan sempit di Bulatan Tanah Putih menghala ke Taman Wangi serta Bandar Gua Musang juga akan dibuka oleh JKR Kelantan.
“Laluan itu pada awalnya disempitkan bagi mengelakkan dimasuki kenderaan berat, namun bermula 6 April ini, kita akan melebarkannya semula sebagai persediaan menerima kemasukan kenderaan perantau yang dijangka mula pulang beraya bermula Jumaat (5 April) ini.
“Kita juga minta kerjasama penuh daripada Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang sekiranya perlu menempatkan anggota secara statik terutamanya di laluan sempit di sempadan Merapoh, Pahang dan Kampung Mentara, Gua Musang memandangkan lokasi tersebut kerap berlaku trafik yang tidak terkawal seperti berebut dan potong barisan,” katanya.
Laluan dua hala dari Bulatan Tanah Putih menghala ke Taman Wangi juga akan dikekalkan oleh JKR sepanjang tempoh perayaan ini, jelas Mohd Suhaili.
“Sekiranya berlaku kesesakan melampau, kita akan mengumumkan makluman berkenaan perubahan kelak. JKR akan mengambil tindakan dari semasa ke semasa bergantung kepada situasi semasa termasuklah menggunakan semula jalan alternatif seperti tahun sebelumnya,” katanya.
Sumber : Sinar Harian