Setakat 9 pagi tadi, aliran trafik di beberapa lebuhraya utama menghala ke Pantai Timur dan Utara sudah mula perlahan susulan ramai sudah dalam perjalanan ingin pulang ke kampung halaman sempena Hari Raya Aidilfitri.
Menurut Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dari Gombak menghala ke Genting Sempah sudah mula sesak sepanjang 17 kilometer dari Tol Gombak ke Genting Sempah.
“Aliran trafik ke arah Utara dari Slim River ke Sungkai dan dari Terowong Menora ke RnR Sungai Perak, juga dilihat mula perlahan,” katanya ketika dihubungi oleh Bernama pagi ini.
Selain itu, aliran trafik turut perlahan di arah Utara dari Bidor menuju ke Tapah. Walau bagaimanapun, sebuah kemalangan telah dilaporkan pada pagi tadi di KM314.7 arah Utara dari Tapah ke Gopeng dan telah diselesaikan dengan cepat untuk memastikan aliran trafik kembali lancar di lebuhraya.
Beberapa laluan Smartlane juga telah diaktifkan bermula hari ini antaranya di KM4.5 hingga KM1.9 arah Selatan dari Setia Tropika ke Pasir Gudang dan juga di KM27.0 hingga KM19.0 arah Selatan dari Kulai ke Senai.
Untuk maklumat trafik terkini, orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol Plusline di 1-800-88-0000 atau pergi ke akaun rasmi @plustrafik di aplikasi ‘X’.
Sumber & Kredit Imej: Bernama