Enam kenderaan klon termasuk dua motosikal berkuasa tinggi serta tiga motosikal Yamaha RX-Z terpakai telah berjaya dirampas oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan baru-baru ini kerana dipercayai diseludup dari negara jiran. Kesemua unit rampasan dianggarkan bernilai RM579,418.
Memetik dari laporan Harian Metro, kesemua kenderaan itu dirampas hasil aduan awam serta risikan yang dijalankan selama dua bulan sejak 15 Februari lalu, menurut Pengarah JKDM Kelantan Wan Jamal Abdul Salam Wan Long.
“Antara kenderaan yang dirampas ialah Nissan Teana, BMW Z4 2.5I, Nissan Serena, Honda Jaz Fit, Toyota Vellfire, Honda Odyssey. Turut dirampas adalah motosikal Honda CB400, Yamaha TDC selain daripada RX-Z.
“Modus operandi yang digunakan adalah membawa masuk kenderaan itu sama ada secara persendirian atau melalui sindiket yang beroperasi di sempadan. Bagi tiga RX-Z terpakai pula, ia diseludup melalui pangkalan haram di Sungai Golok menggunakan sampan dan dijual kepada pembeli tempatan dengan harga sekitar RM7,000 hingga RM8,000 seunit,” katanya.
Tambah beliau lagi, kesemua unit rampasan ini dipercayai dibawa masuk dari Singapura dan telah dijual dengan harga yang rendah sehingga 30% berbanding harga semasa. Pihaknya juga sedang giat menjalankan siasatan lanjut kerana percaya bahawa terdapat rangkaian sindiket yang menjalankan kegiatan ini di Singapura dan Thailand.
“Kenderaan (motokar) diklasifikasikan sebagai barangan import yang tertakluk di bawah Jadual Kedua, Bahagian I, Butiran 3(2), Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023. Manakala motosikal diklasifikasikan sebagai barangan import yang tertakluk di bawah Jadual Kedua, Bahagian II, Butiran 7, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023,” katanya sambil menambah kedua-dua kes tersebut sedang disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1957.
Sumber : Harian Metro