Keretapi Tanah Melayu (KTM) telah mengumumkan bahawa Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) akan dipanjangkan sehingga ke Segamat, Johor bermula 1 Julai ini. Seperti yang semua sedia maklum, perkhidmatan ETS kini hanya tersedia dari Padang Besar, Perlis sehingga ke Gemas, Negeri Sembilan sahaja. Dengan pembukaan laluan baru ini, ia bakal menjadi kali pertama tren elektrik tersebut memasuki negeri Johor.
Memetik dari kenyataan Anthony Loke, Menteri Pengangkutan, pada September tahun lalu, difahamkan bahawa projek tren berkembar elektrik tidak akan terhenti di Segamat malah akan dipanjangkan lagi sehingga ke Johor Bahru dan bakal siap sepenuhnya menjelang tahun 2025.
“Keseluruhan projek ini memerlukan masa untuk disiapkan kerana ia telah tertangguh berkali-kali, terutamanya disebabkan oleh Covid 19, tetapi kini ia berada di landasan yang betul. Kami berharap projek ini dapat disiapkan secepat mungkin supaya ia dapat menghubungkan Johor Bahru ke Kuala Lumpur dan sehingga ke Padang Besar,” kata menteri pengangkutan Anthony Loke pada September 2023, ketika itu projek ini berada pada tahap 92% siap.
Beliau mendedahkan bahawa laluan sejauh 192 km serta 11 hentian merentasi empat daerah utama iaitu Segamat, Kluang, Kulai dan berakhir di stesen JB Sentral Johor Bahru akan terlibat dalam rancangan projek tren berkembar elektrik Gemas-Johor Bahru ini.
Perjalanan dari stesen Kl Sentral ke JB Sentral hanya akan mengambil masa selama 3 jam dan 30 minit sahaja selepas laluan ini siap sepenuhnya kelak. Orang ramai juga sudah boleh merentasi semenanjung Malaysia dengan menggunakan perhidmatan ETS ini dari Johor Bahru ke Padang Besar untuk ke sempadan Thailand.
Sumber : Paultan