Seorang penunggang motosikal maut selepas terjatuh dari ketinggian kira-kira 30 meter dalam kemalangan di Jejantas Sungai Tiram, Jalan Sultan Azlan Shah di Bayan Lepas pada petang semalam.
Menurut dari kenyataan jurucakap polis, kejadian berlaku kira-kira jam 4.10 petang dan mangsa lelaki yang berusia 27 tahun itu sedang dalam perjalanan pulang ke rumah dari Bayan Baru ke Bayan Lepas.
“Apabila tiba di jejantas itu, motosikal mangsa telah hilang kawalan sebelum bergesel dengan penghadang jalan dan tercampak ke bawah jejantas.
Sumber dari Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Barat Daya berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 5.59 petang tadi dan kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, operasi membantu mengangkat mangsa membabitkan seramai empat anggota termasuk seorang pegawai dari APM Daerah Barat Daya.
“Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan sebelum dilaporkan meninggal dunia pada jam 9.45 malam,” katanya ketika dihubungi oleh pihak Bernama hari ini.
Turut dihubungi adalah Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, DSP Jafri Md Zain dan beliau telah mengesahkan bahawa kes telah disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.