Seorang lelaki warga emas maut setelah terjatuh dari motosikal dan telah digilis oleh sebuah lori treler di Jalan Gangsa, Mergong, semalam. Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba II Ahmad Naufal Abdullah, pihak bomba menerima panggilan kecemasan terbabit sekitar jam 10 pagi.
Sepasukan anggota dari BBP Alor Setar yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Ahmad Nozlan Zakaria bersama 10 anggota telah dikejarkan ke lokasi kejadian, ulas beliau.
“Setiba di lokasi didapati, terdapat kemalangan membabitkan sebuah motosikal jenis Honda EX-5 dengan sebuah treler. Terdapat seorang mangsa iaitu lelaki warga emas berusia 73 tahun dipercayai digilis di bahagian kepala serta badan dan tersepit di bawah lori di bahagian tayar hadapan,” katanya.
Anggota bomba yang terlibat telah menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa dan mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk proses bedah siasat.
“Tindakan lanjut pasukan bomba adalah dengan membersihkan sisa kemalangan di atas jalan raya di lokasi kejadian sehingga selesai,” katanya.
Sumber : Astro Awani