Prestasi jualan bulan April telah diumumkan oleh Proton dengan penjualannya mencapai 11,025 unit kenderaan untuk domestik dan eksport berbanding pada bulan yang sama tahun lalu iaitu hanya sebanyak 9,415 unit.
Berbanding dari tahun lalu, ia telah menunjukkan pertumbuhan jualan sebanyak 17.1 peratus. Ini sekaligus menunjukkan jualan keseluruhan bagi empat bulan pertama tahun ini juga telah meningkat kepada 50,175 unit berbanding empat bulan tahu lalu iaitu 49,702 unit.
Bagi Jumlah Jualan Industri (TIV) pula, ia dianggarkan naik sebanyak 59,100 unit untuk tempoh yang sama, dengan jumlah kumulatif kini mencapai 261,345 unit bagi tahun ini.
Selain itu, eksport Proton juga melonjak sebanyak 38.5 peratus iaitu dari 603 unit kepada 835 unit sejak Januari hingga April dan ini menunjukkan pertumbuhan yang signifikan di pasaran antarabangsa.
Proton X50 telah mengekalkan kedudukannya sebagai model SUV segmen-B paling laris sekali lagi dengan jumlah jualannya pada April mencapai 1,642 unit. Selain X50, Proton S70 juga berjaya mengekalkan momentumnya sebagai model sedan segmen-C paling laris di Malaysia berturut-turut dengan jumlah jualannya sebanyak 1,635 unit pada April.
Tidak dilupakan, model mampu milik dari Proton iaitu Saga yang masih menjadi juara dengan mencatat sebanyak 5,031 unit, Proton X70 sebanyak 552 unit, Proton Persona sebanyak 1,429 unit, Proton X90 sebanyak 312 unit dan Proton Iriz sebanyak 1,958 unit pada April 2024.
Ini menunjukkan, Proton berjaya mengekalkan kedudukannya yang kukuh dalam pasaran automotif Malaysia.