Berikutan dengan insiden pokok tumbang petang semalam di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur yang telah menghalang laluan monorel berdekatan, Rapid KL telah mengumumkan beberapa stesen monorel yang telah ditutup mulai hari ini (8 Mac) sehingga kerja-kerja pembersihan selesai dilakukan.
Antara stesen yang telah ditutup sementara adalah Bukit Nanas, Raja Chulan, Bukit Bintang dan Imbi. Walau bagaimanapun, Rapid KL telah menyediakan bas perantara di stesen monorel yang terlibat bagi memastikan perjalanan pengguna tidak terganggu.
Tiada sebarang kadar tambang bakal dikenakan bagi sesiapa yang menaiki bas perantara terbabit namun Rapid KL turut menyarankan supaya penggunanya menggunakan perkhidmatan awam yang lain seperti LRT dan MRT.
Kerja-kerja pembersihan dan pemulihan sedang giat dilakukan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta pasukan operasi dan jurutera struktur bagi memastikan semua pihak mengikut piawaian keselamatan yang telah ditetapkan.