Seorang guru wanita maut selepas motosikal yang ditunggangnya dipercayai melanggar lubang yang besar di Jalan Gapam-Bemban, pada pagi Isnin.
Mangsa yang dikenali sebagai Siti Sarah Mohamed Nuwawi, 32 tahun, telah mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di unit kecemasan Hospital Melaka.
Menurut Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi, kejadian berlaku sekitar jam 11.20 pagi dan mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Bemban menuju ke Gapam menaiki motosikal jenis Sym.
“Setiba di lokasi, mangsa yang beralamat di Taman Ayer Keroh Height dipercayai terlanggar kawasan yang tidak rata kerana terdapat kerosakan di permukaan jalan, menyebabkan mangsa terbabas lalu terjatuh.
“Impak kemalangan itu mangsa mengalami cedera parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Melaka pada jam 4.20 petang,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kemalangan terbabit untuk tampil memberi keterangan dan kes telah disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber : Sinar Harian