Tular sebuah video berdurasi 1 minit 2 saat yang memaparkan sekumpulan pemilik kenderaan jenis Honda sedang berkumpul ramai-ramai di sebuah stesen minyak Petron di Genting Highland dan bertindak memasak mi segera menggunakan dapur api mudah alih.
Lebih membuat netizen marah apabila mereka kelihatan sedang leka dan bersahaja sehingga tidak memikirkan keselamatan orang ramai kerana stesen minyak merupakan kawasan yang mudah terbakar.
Video tersebut memaparkan mereka membuka meja lipat, kerusi lipat dan mula memasak mi segera menggunakan dapur api mudah alih. Selain itu, kelihatan juga sebuah kereta peronda polis yang turut hadir dan menegur tindakan mereka itu di dalam video.
Walau bagaimanapun, mereka tidak menghiraukan teguran dari kereta peronda polis terbabit dan kelihatan masih meneruskan tindakan mereka. Tinjauan kami di ruangan komen mendapati ramai netizen yang meluahkan rasa geramnya dan meminta pihak stesen minyak dan pihak berkuasa untuk mengenal pasti identiti mereka yang terlibat di dalam video tersebut.