passionately driven

Insiden Bas Persiaran Terbalik Berhampiran Terowong Menora, 40 Penumpang Cedera

Sebuah bas persiaran telah terbabit dalam kemalangan bersama sebuah kereta dan terbalik di Kilometer 264.5 Lebuhraya Utara-Selatan dan mengakibatkan seramai 40 orang penumpang termasuk pemandu mengalami kecederaan pagi semalam.

Kejadian yang terjadi sekitar 7.25 pagi itu telah membuatkan seorang kanak-kanak perempuan cedera parah manakala yang lain mengalami cedera ringan.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, kenderaan yang terlibat dalam kemalangan terbabit adalah sebuah kenderaan jenis Honda Accord.

“Pihak bomba menerima panggilan pada jam 7.28 pagi dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya dan Kuala Kangsar dikejarkan ke lokasi.

“Setibanya di lokasi mendapati kemalangan melibatkan sebuah bas persiaran dan sebuah kereta sedan,” katanya.

Kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk rawatan menggunakan dua unit EMRS dan bantuan ambulans pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beralih kepada siasatan polis, menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, kenderaan yang dipandu oleh lelaki berusia 44 tahun itu hilang kawalan dan telah memasuki laluan bas yang berada di lorong kiri ketika sedang memandu di lorong kanan menghala ke selatan.

“Keadaan itu menyebabkan kereta berkenaan melanggar bahagian sisi kanan belakang bas sebelum berpusing dan melanggar pula hadapan kanan bas sehingga bas itu hilang kawalan dan terbabas,” katanya dalam kenyataan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai butiran atau saksi mengenai kemalangan terbabit diminta untuk tampil bagi membantu siasatan.

 

Sumber : Harian Metro

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD