Kia secara rasmi telah melancarkan EV3 2024, sebuah SUV elektrik kompak. Ia akan tersedia di Korea Selatan mulai Julai, dengan Eropah dan wilayah lain menyusul pada separuh kedua tahun ini. EV3 menyertai barisan kenderaan elektrik Kia yang lain iaitu EV5, EV6 dan EV9.
EV3 berukuran 4,300 mm panjang, 1,850 mm lebar, dan 1,560 mm tinggi, dengan jarak antara roda 2,680 mm. Ia memiliki ruang penyimpanan hadapan berkapasiti 25 liter dan ruang penyimpanan barangan di belakang berkapasiti 460 liter.
Kedua-dua varian berkongsi motor elektrik yang sama di depan, menghasilkan 204 PS dan 283 Nm tork, dengan masa 0-100 km/j dalam 7.5 saat dan kelajuan maksimum 170 km/j. EV3 dilengkapi dengan eDTVC (Electric Dynamic Torque Vectoring Control) untuk daya tarikan optimum dan i-Pedal 3.0 brek regeneratif untuk pemanduan satu pedal yang boleh dilaras.
EV3 dibina di atas platform E-GMP tetapi menggunakan seni bina 400V, tidak seperti 800V dalam EV6 dan EV9. Ini membolehkan pengecasan pantas DC, mengambil masa kira-kira 31 minit untuk bateri 81.4 kWh daripada 10-80%. Versi Long Range boleh mencapai jarak sehingga 600 km dengan cas penuh, manakala model Standard Range mempunyai bateri 58.3 kWh dengan jarak perjalanan yang lebih pendek.
Kia memilih bateri nickel manganese cobalt (NMC) untuk output kuasa yang lebih baik dan jangka hayat yang lebih panjang daripada bateri lithium iron phosphate (LFP). EV3 menyokong pengecasan AC dan mempunyai sistem vehicle-to-load (V2L).
Beralih kepada rekaan luaran, EV3 tampil dengan fender belakang berkotak, lampu siang ‘Tiger Face Star Map’ berserta dua reka bentuk bampar iaitu versi asas dan versi GT-Line, yang diinspirasikan oleh EV6.
Beralih kepada rekaan dalaman, EV3 mempunyai papan pemuka minimalis dengan hampir 30 inci ruang skrin, termasuk kluster instrumen digital 12.3 inci, skrin sentuh infotainment 12.3 inci, dan panel sentuh penyaman udara 5 inci. Bahan kitar semula digunakan dalam kabin, tersedia dalam pelbagai tema warna. Konsol tengah menawarkan meja gelongsor, kawasan penyimpanan, lampu ambien, dan tempat duduk dengan mod relaksasi yang boleh dilipat.
Sistem infotainment dijalankan di atas Platform Kandungan Automotif LG dengan webOS, menyokong permainan dalam kereta, penggunaan kandungan, dan pembantu AI. Ia juga termasuk sistem bunyi Harman Kardon dan tema boleh dikonfigurasikan melalui Kia Connect Store.
Bagi sistem keselamatan pula, EV3 menerima Advanced Driver Assistance Systems (ADAS) termasuk Forward Collision-Avoidance Assist, Lane Keeping Assist, Highway Driving Assist, Reverse Parking Collision-Avoidance Assist dan Remote Smart Parking Assist.
Ia ditawarkan dengan 9 pilihan warna di mana dua darinya iaitu Aventurine Green dan Terracotta telah dibancuh secara eksklusif dan 3 pilihan warna dalaman iaitu Subtle Grey, Warm Grey dan Blue manakala Onyx Black hanya tersedia eksklusif untuk GT-line.