Pengedar tunggal Ford di Malaysia, Sime Darby Auto ConneXion (SDAC) telah melancarkan Ford Ranger StormTrak Edisi Terhad secara rasmi hari ini ke dalam pasaran Malaysia. Terhad kepada 200 unit, trak pikap ini dijual pada harga RM181,888 (on-the-road tanpa insurans) di Semenanjung Malaysia manakala RM188,288 (on-the-road tanpa insurans) di Sabah dan Sarawak.
Trak pikap ini didatangkan dengan enjin Bi-Turbo 2.0 liter dan mampu menghasilkan 500 Nm pada 2,000 rpm. Manakala output maksimum yang dihasilkan untuk kuasa adalah 210 Ps pada 3,750 rpm. Menggabungkan keupayaan lasak, ciri premium dan teknologi tiada tandingan, Ranger StormTrak kini telah dinaik taraf berasaskan dari model Ranger WildTrak.
Pada bahagian luaran, ia kini didatangkan dengan Skim StormTrak serba baharu iaitu roda bersaiz 20 inci dengan cat Hitam Asfalt matte dan sisipan roda Merah Race, gril dan bampar Skim StormTrak yang menyerlah serta reka bentuk logo yang baharu yang mencerminkan statusnya sebagai kenderaan edisi terhad.
Beralih pada bahagian dalaman, Skim StormTrak menonjol dengan papan pemuka yang dihiasi jahitan Merah Race, logo StormTrak pada kerusi, jahitan Merah Race berserta sisipan suede Miko yang menggabungkan ciri kelasakan dengan gaya kemewahan untuk mereka yang meminati pengembaraan.
Selain itu, beberapa ciri baru telah diperkenalkan untuk Ford Ranger StormTrak Edisi Terhad iaitu Lampu Sokongan untuk menerangi jalan lasak yang gelap, Pencahayaan Zon untuk mencerahkan lagi ruang di sekeliling kereta dan lampu kargo untuk memudahkan proses memuatkan dan memunggah barang.
Sistem Rak Fleksibel dan Rel Bumbung Boleh Ayun Posisi masih diteruskan di mana pelarasan palang sukan boleh dilakukan dengan satu tangan dan boleh menyokong pelbagai jenis muatan sehingga 80 kilogram (dinamik) dan 250 kilogram (statik). Kenderaan ini juga dilengkapi teknologi canggih seperti Penukar Gear Elektronik dengan transmisi automatik 10 kelajuan, Tekanan Brek Auto dan Bantuan Letak Kereta Aktif 2.0.
Ford Ranger StormTrak Edisi Terhad bakal ditawarkan dengan 3 jenis warna luaran iaitu Putih Artik, Kelabu Meteor dan Hitam Mutlak. Pelanggan yang berminat boleh membuat tempahan secara eksklusif di dalam talian menerusi shop.sdacford.com.my. Pelanggan yang menempah akan menerima jaket Pengadang Angin Ranger StormTrak yang akan diberikan semasa penyerahan kenderaan.