Prestasi jualan bulan Mei telah diumumkan oleh Proton dengan penjualannya mencapai 12,552 unit kenderaan untuk domestik dan eksport berbanding pada bulan yang sama tahun lalu iaitu hanya sebanyak 11,721 unit.
Ini menunjukkan jualan keseluruhan bagi lima bulan pertama tahun ini telah mencecah kepada 62,697 unit berbanding lima bulan tahun lalu iaitu 62,970 unit. Dengan angka ini, Proton menganggarkan pegangan pasaran mereka kini berada pada 19%.
Memetik dari siaran akhbar, Proton juga mendedahkan jumlah eksport pada bulan Mei merupakan paling tinggi bagi tahun 2024 setakat ini di mana sebanyak 509 unit berjaya dihantar kepada beberapa negara seperti Trinidad, Tobago, Bangladesh dan Iraq.
Proton Saga telah mengekalkan kedudukannya sebagai model paling laris di dalam Proton dengan jumlah jualannya pada Mei mencapai 6,119 unit diikuti dengan Proton S70 dengan jumlah jualannya sebanyak 2,011 unit pada Mei sekaligus mengungguli sedan segmen-C paling laris di Malaysia.
Ia seterusnya disambung oleh Proton Persona dengan jumlah jualannya sebanyak 1,645 unit, Proton X50 sebanyak 1,407 unit, Proton X70 sebanyak 523 unit dan Proton Iriz sebanyak 452 unit pada Mei 2024. Proton X90 juga membuat kejutan dengan menjadi SUV segmen-D paling laris di Malaysia dengan jualan sebanyak 364 unit.
“Menuruti bulan April yang agak senyap kerana jualan terkesan akibat cuti perayaan, Mei menyaksikan peningkatan positif kembali berlaku sambil TIV meningkat bagi tempoh tahun ke tahun dan bulan ke bulan, menunjukkan daya tahan industri automotif,” kata CEO Proton Edar, Roslan Abdullah.
“Dengan TIV terkumpul sehingga Mei sudah menyumban 44.6% daripada unjuran Persatuan Automotif Malaysia (MAA) sebanyak 740,000 unit, kami percaya masih ada ruang untuk pertumbuhan dalam industri automotif tempatan,” tambah Roslan.